NEW YORK: Seorang penjudi dipercayai meraih keuntungan hampir AS$500,000 (RM2 juta) selepas membuat pertaruhan mengenai penangkapan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, sebelum pengumuman rasmi dibuat, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan penggunaan maklumat dalaman operasi Amerika Syarikat (AS).
Data daripada Polymarket, platform pertaruhan berasaskan kripto, menunjukkan lonjakan pertaruhan Maduro akan tersingkir daripada kuasa sebelum akhir Januari, beberapa jam sebelum Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pada Sabtu pemimpin Venezuela itu telah ditahan.
Satu akaun tanpa nama, yang didaftarkan bulan lalu, merekodkan lebih AS$436,000 (RM1.76 juta) keuntungan daripada pertaruhan berjumlah AS$32,537 (RM131,645). Akaun itu hanya membuat empat pertaruhan, semuanya berkaitan situasi politik Venezuela.
Identiti pemilik akaun berkenaan masih tidak diketahui dan hanya dikenal pasti melalui pengecam rantaian blok, manakala pihak Polymarket belum mengulas lanjut mengenai kemungkinan penyalahgunaan maklumat dalaman.
Data Polymarket menunjukkan pedagang meletakkan kebarangkalian penyingkiran Maduro pada hanya 6.5 peratus pada petang Jumaat, 2 Januari.
Namun, angka itu meningkat kepada 11 peratus sejurus sebelum tengah malam, sebelum melonjak mendadak pada awal pagi 3 Januari, menandakan perubahan kedudukan secara tiba-tiba hanya beberapa jam sebelum Trump memuat naik kenyataan di Truth Social mengenai Maduro berada dalam tahanan AS.
“Pertaruhan ini mempunyai semua ciri dagangan yang dibuat berdasarkan maklumat dalaman,” Ketua Pegawai Eksekutif Better Markets, Dennis Kelleher, sebuah kumpulan bukan partisan yang memperjuangkan reformasi kewangan, kepada BBC.
Beberapa pengguna Polymarket lain juga dilaporkan meraih keuntungan puluhan ribu dolar hasil pertaruhan terhadap penangkapan Maduro.
Isu itu kini mula menarik perhatian penggubal undang-undang.
Ahli Kongres Demokrat dari New York, Ritchie Torres, pada Isnin mengemukakan satu rang undang-undang yang bertujuan melarang kakitangan kerajaan daripada membuat dagangan di pasaran ramalan sekiranya mereka memiliki ‘maklumat material yang tidak didedahkan kepada umum’ berkaitan sesuatu pertaruhan.
Pasaran ramalan semakin popular di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan syarikat seperti Polymarket dan Kalshi membenarkan pengguna membuat pertaruhan merangkumi pelbagai perkara, daripada sukan hingga politik.
Syarikat-syarikat utama dalam industri itu menarik pertaruhan bernilai ratusan juta dolar berkaitan keputusan pilihan raya presiden AS 2024.
Sektor ini berdepan penelitian ketat daripada pengawal selia semasa pentadbiran Presiden Joe Biden. Namun, industri berkenaan dilihat menerima sambutan yang lebih positif di bawah pentadbiran Trump.










