PADANG BESAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengagalkan cubaan menyeludup diesel menggunakan tangki tambahan dalam operasi di sebuah premis sekitar Kawasan Perindustrian Padang Besar, di sini, semalam.
Operasi sekitar pukul 12.30 tengah hari itu dijalankan hasil risikan dilakukan oleh PDRM di lokasi berkenaan selama dua bulan.
Pengarah KPDN negeri, Rohaida Hassan berkata, semasa serbuan dilakukan, pihaknya mendapati terdapat tiga buah motor lori bernombor pendaftaran Thailand jenis Prime Mover berada berhampiran pam dan skid tank di premis tersebut.
“Dua daripada motor lori berkenaan didapati sedang menjalankan aktiviti pengisian yang disyaki minyak diesel ke dalam tangki asal kenderaan serta tangki tambahan.
“Selain itu, terdapat juga sebuah lagi motor lori bernombor pendaftaran tempatan didapati sedang melakukan pengisian disyaki minyak diesel ke dalam skid tank,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Rohaida, menerusi serbuan itu, dianggarkan sejumlah 43,500 liter minyak diesel telah disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM124,410.
Katanya, selain itu, dua buah motor lori bernombor pendaftaran Thailand turut disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM400,000.
“Dalam masa sama, seramai lima lelaki warganegara Thailand dan dua warga tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.
Dalam operasi sama, Rohaida berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan lanjut dan mendapati terdapat tiga buah motor lori membawa sejumlah cecair disyaki minyak masak dalam bentuk pembungkusan botol lima liter dan polibeg satu kilogram (kg) di premis itu.
Ujarnya, pembungkusan bagi minyak masak bagi botol lima liter dan polibeg satu kg itu juga didapati telah dicetak dalam bahasa Thailand.
“Sebanyak 8,500 paket minyak masak polibeg 1 kg dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM45,050 telah disita bersama tiga buah motor lori bonded bernombor pendaftaran tempatan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM195,000 untuk siasatan lanjut,” katanya. -UTUSAN










