Tipu nombor pendaftaran untuk beli diesel 

Tipu nombor pendaftaran untuk beli diesel 

WANITA warga Thailand yang ditahan selepas mengisi diesel menggunakan kenderaan asing yang bernombor pendaftaran Malaysia palsu di Kuala Nerang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Taktik licik seorang wanita warga Thailand menukar nombor pendaftaran kenderaan untuk membeli diesel terbongkar selepas diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Kuala Nerang, kelmarin.

Serbuan hasil aduan awam serta risikan pegawai KPDN itu mengesan sebuah kenderaan pikap yang mencurigakan ketika mengisi minyak di sebuah stesen di pekan berkenaan.

Difahamkan, selepas selesai mengisi minyak, wanita terbabit membawa kenderaan ke bahagian belakang stesen sebelum menukar nombor pendaftaran Malaysia yang palsu kepada nombor asal Thailand.

Menurut Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin, hasil pemeriksaan menemui tangki ubah suai yang dipenuhi diesel di dalam kenderaan terbabit.

“Seorang wanita warga Thailand berusia lingkungan 40-an ditahan untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan mendapati sebanyak 273 liter diesel dibeli dalam satu transaksi oleh pemandu kenderaan tersebut.

“Perbuatan itu melanggar Arahan Pengawal Bekalan berhubung had penjualan kepada kenderaan berpendaftaran tempatan dalam satu hari, justeru kertas siasatan turut dibuka terhadap stesen minyak itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata, pihaknya menyita 273 liter diesel bernilai RM791.73, sebuah pikap, resit jualan serta dokumen perniagaan dengan jumlah keseluruhan sitaan dianggarkan RM30,791.73.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman berat kepada pesalah, termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM2 juta.

Ujar beliau, KPDN akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menyeleweng barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

“Tindakan ini adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan yang melibatkan barang kawalan dan bersubsidi. 

“KPDN amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN