Dua pasar raya utama Sabah sertai inisiatif digitalisasi PriceCatcher

Dua pasar raya utama Sabah sertai inisiatif digitalisasi PriceCatcher

Armizan (tengah) ketika ditemui di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pasar Raya Bataras Sdn. Bhd. dan Pasar Raya CKS Retail Sdn. Bhd.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Usaha memperkukuhkan ketelusan dan pendigitalan data harga barangan di Sabah diperkuatkan dengan penyertaan dua pasar raya utama di Sabah melalui aplikasi pintar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) PriceCatcher yang memaparkan maklumat harga barangan secara masa nyata.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai bersama Pasar Raya Bataras Sdn. Bhd. dan Pasar Raya CKS Retail Sdn. Bhd. dilihat sebagai langkah memperluaskan kerjasama strategik antara KPDN dan sektor peruncitan di negeri itu.

Katanya, melalui kerjasama tersebut, entiti sektor peruncitan akan membekalkan maklumat harga barangan secara automatik ke dalam sistem PriceCatcher bagi memastikan pengguna mendapat akses maklumat harga yang lebih telus dan tepat.

“Inisiatif ini mampu meningkatkan akses pengguna terhadap data harga barangan di pasaran serta membantu mereka membuat semakan dan panduan perbelanjaan secara lebih efisien.

“KPDN turut menggalakkan lebih banyak pasar raya dan premis runcit untuk turut serta dalam perkongsian data harga secara automasi melalui PriceCatcher bagi memperluaskan liputan maklumat harga di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aplikasi PriceCatcher kini memaparkan harga bagi 316 barangan keperluan utama, termasuk barangan segar, tenusu, barangan bayi, produk kebersihan dan minuman. Setakat 31 Oktober 2025, aplikasi itu telah dimuat turun lebih 590,000 pengguna di seluruh negara dengan purata 10,000 pelawat aktif setiap minggu.

Sebelum ini, data harga dalam aplikasi diperoleh sepenuhnya melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH), namun pelaksanaan MoU baharu ini membolehkan data dihantar secara masa nyata (real-time) terus daripada pasar raya yang mengambil bahagian.

Dalam pada itu, KPDN turut menggesa penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) supaya memanfaatkan pelaksanaan Program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) 3.0 yang mula dilaksanakan pada 1 September 2025.

Katanya, program di bawah inisiatif Kerajaan MADANI itu menawarkan baucar bernilai RM30 kepada dua juta penerima STR bagi membeli produk asas insurans dan takaful daripada pengendali berlesen.

“Baucar tersebut boleh ditebus sehingga 31 Disember 2025, tertakluk kepada penebusan penuh oleh penerima.

“Program ini membantu memperluas capaian, meningkatkan kefahaman serta menggalakkan pengambilan produk takaful dan insurans mampu milik dalam kalangan rakyat,” katanya.

Setakat 11 November 2025, seramai 18,826 penerima STR telah menebus dan membeli produk takaful serta insurans di bawah program itu.

Kerajaan turut menggalakkan penerima STR mendaftar dan menebus baucar berkenaan melalui laman web www.mycoverage.my sebelum tarikh tamat program.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN