MARANG: Pas tetap dengan pendirian mahu menerajui Perikatan Nasional (PN) di sebalik dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal mengetuai gabungan itu ekoran kegagalan menamakan calonnya bagi kerusi tersebut.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas sudah mempunyai calon bagi mengisi kedudukan berkenaan dan ketetapan menerajui gabungan itu dibuat selari dengan resolusi Muktamar Pas di Kedah yang meluluskan usul mengenainya.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN dengan menegaskan, belum ada sebarang keputusan muktamad dibuat berhubung pelantikan jawatan itu setakat ini.
“Itu resolusi Muktamar Pas,” katanya ketika ditanya apakah Pas masih kekal mahu calonnya menjadi Pengerusi PN.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi PN ditemui pemberita selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini, semalam.
Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Alor Setar pada September tahun lalu meluluskan lima usul sempena persidangan itu termasuk penegasan bahawa parti berkenaan bukan sahaja layak tetapi wajib menerajui PN.
Awal bulan ini, Pas dilapor memutuskan menerajui PN susulan peletakan jawatan Muhyiddin dan gabungan akan mengadakan mesyuarat bagi memilih Pengerusi baharu.
Namun sehingga semalam, mesyuarat itu belum diadakan atas sebab-sebab tertentu termasuk PN ketiadaan Setiausaha Agung selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meletak jawatan.
Terbaharu, akhbar ini melaporkan, kegagalan Pas menamakan calon Pengerusi PN menguatkan dakwaan Muhyiddin bakal kekal mengetuai gabungan itu.
Malah, jika MIC menyertai PN bakal menyukarkan lagi calon dari Pas di posisi tersebut memandangkan parti-parti komponen lebih mahu pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengepalai gabungan berkenaan.
Sementara itu, Abdul Hadi berkata, beliau belum menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan pembangkang tersebut sekali gus menamakan penggantinya.
Katanya, kelewatan mesyuarat tersebut yang sudah tertangguh lebih tiga minggu disebabkan masalah pentadbiran dan berharap ia dapat diselesaikan segera memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-16 semakin hampir.
“Mungkin dalam seminggu dua lagi. Dalam masa terdekat, kita pun nak hadapi pilihan raya,” katanya. – UTUSAN










