NEW DELHI: Seorang lelaki berusia 20 tahun dilaporkan sanggup memotong kakinya sendiri bagi mendapatkan manfaat kemasukan ke sekolah perubatan melalui kuota untuk golongan kurang upaya (OKU).
Suraj Bhaskar, dari negeri Uttar Pradesh, mendakwa menjadi mangsa serangan keganasan untuk mendapatkan keistimewaan kuota kemasukan ke sekolah perubatan.
Undang-undang India mewajibkan kuota lima peratus untuk golongan OKU di institusi pendidikan tinggi dan bantuan kerajaan, termasuk kolej perubatan.
Tindakan lelaki itu terbongkar selepas polis mendapati banyak keterangan yang tidak konsisten dalam siasatan kes Suraj.
“Tertuduh cuba mengelirukan siasatan dengan cerita yang direka-reka, tetapi dakwaannya tidak dapat diteliti semasa soal siasatan serta pemeriksaan bukti,” kata jurucakap polis kepada wartawan.
Polis turut menemukan diari milik Suraj yang menunjukkan obsesinya untuk menjadi doktor MBBS pada 2026, serta kenyataan teman wanitanya mengenai usaha Suraj mendapatkan dokumen berkaitan OKU sebelum ini.
Laporan perubatan mendapati kaki Suraj dipotong dengan sangat kemas, kemungkinan menggunakan mesin, dan bukan akibat serangan senjata tajam.
Picagari yang ditemukan berhampiran lokasi juga menunjukkan beliau mungkin menggunakan bius untuk mengebaskan kaki sebelum melakukan amputasi.
“Mangsa berulang kali mengubah kenyataannya dan cuba mengelirukan polis,” kata pegawai, sambil menambah Suraj kini dirawat di pusat trauma, namun kaki yang dipotong masih belum ditemukan.
Walaupun polis yakin lelaki itu melakukan tindakan ekstrem tersebut sendiri untuk memasuki sekolah perubatan tanpa lulus peperiksaan NEET, langkahnya mengejutkan sehingga tindakan undang-undang sesuai masih belum jelas.- AGENSI










