Langkah agresif Trump 'tenggelamkan' nasib rakyat Gaza

Langkah agresif Trump ‘tenggelamkan’ nasib rakyat Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tindakan agresif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terhadap Venezuela dan Greenland baru-baru ini ‘menenggelamkan’ perhatian dunia terhadap nasib rakyat Gaza, yang terus menjadi sasaran tentera Israel meskipun gencatan senjata berkuat kuasa.

Agensi pertahanan awam Gaza melaporkan serangan Israel di wilayah terkepung kelmarin, meragut sekurang-kurangnya 13 nyawa termasuk lima kanak-kanak.

Menurut jurucakap agensi itu, Mahmoud Bassal, empat orang termasuk tiga kanak-kanak terbunuh apabila dron Israel membedil khemah yang menempatkan pelarian di selatan Gaza.

Di utara Gaza, seorang budak berusia 11 tahun terbunuh berhampiran kem pelarian Jabalia, manakala serangan ke atas sebuah sekolah meragut satu nyawa.

Sementara itu, satu lagi serangan dron berasingan berhampiran Khan Younis di bahagian selatan membunuh seorang lelaki Palestin.

Agensi itu berkata, dua lagi penduduk Gaza, termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan lain.

Tentera Israel ketika dihubungi AFP mendakwa, pihaknya sedang memeriksa laporan tersebut.

Petang kelmarin, empat lagi terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan sebuah rumah di kawasan timur Gaza City, dan operasi mencari beberapa individu hilang sudah dimulakan, menurut Mahmoud.

“Jumlah kematian kini meningkat kepada 13 akibat serangan Israel ke atas Gaza sejak pagi Khamis, yang jelas melanggar perjanjian gencatan senjata,” katanya.

Israel pada Khamis turut mengumumkan menyekat kemasukan sukarelawan perubatan dan kemanusiaan asing ke Gaza, selepas organisasi antarabangsa diarah menghentikan operasi kecuali mendaftar butiran kakitangan serta mematuhi peraturan baharu lain.

Bimbang krisis kemanusiaan baharu jika perkhidmatan perubatan dan bantuan disekat memasuki Gaza, sebahagian daripada 37 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa sedang mempertimbangkan untuk menyerah nama kakitangan kepada pihak berkuasa Israel.

Kementerian Diaspora Israel, yang mengurus proses pendaftaran, berkata langkah itu bertujuan mengelakkan penyelewengan bantuan oleh kumpulan pejuang Palestin.

Namun, NGO berpendapat perkongsian butiran kakitangan terlalu berisiko, memandangkan beratus pekerja bantuan terkorban atau cedera sepanjang perang dua tahun di Gaza.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN