SHAH ALAM: Sebanyak 112 ladang babi termasuk 32 masih aktif di Tanjung Sepat, Kuala Langat tetap akan ditutup meskipun kerajaan negeri membatalkan sementara cadangan pembinaan ladang moden berpusat di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau memberi jaminan penutupannya akan dilakukan secepat mungkin walaupun ia akan mencetuskan kesan rantaian seperti peningkatan harga.
Risiko peningkatan harga berikutan langkah alternatif adalah mengimport daging babi dari luar.
“Penutupan kita akan cuba laksana secepat mungkin. Kesannya dari mana sumber? Alternatif. Import aka menjadikan harga melambung.
Sekarang 70 peratus (daging babi) import dari negeri dan negara lain,” katanya, ketika ditmeui selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penzahiran Laporan Voluntary Local Review (VLR) Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS) Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan negeri Selangor membatalkan sementara cadangan untuk membina ladang babi berpusat yang berskala besar di Bukit Tagar apabila menerima bantahan keras khususnya daripada penduduk di kawasan berkenaan.
Keputusan itu dibuat susulan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya projek ladang ternakan berkeluasan kira-kira 202 hektar itu ditangguh atau dibatalkan sementara.
Bukit Tagar selain menempatkan tapak pelupusan sisa pepejal, terdapat sekitar lima kawasan perumahan estet di Ladang Mary hingga ke Ladang Nigel Gardner.
Berdekatan tapak pelupusan sisa, terdapat dua buah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ladang Nigel Gardner dan Ladang Mary beberapa rumah ibadat termasuk tokong, kuil di kedua-dua ladang dan sebuah Masjid Nigel Gardner dalam radius lima kilometer. – UTUSAN










