PETALING JAYA: Pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam fasa dua merupakan langkah signifikan dalam membantu golongan itu berdepan kos sara hidup yang meningkat.
Rata-rata penjawat awam bersetuju kesan kenaikan gaji itu lebih kepada mengurangkan tekanan kewangan berbanding memberikan keselesaan.
Pensyarah universiti awam, Muhammad Azim Zaid, 34, berkata, kenaikan gaji itu wajar kerana mencerminkan kesedaran kerajaan terhadap cabaran kos sara hidup, khususnya pasca pandemik dan ketidaktentuan ekonomi global.
Menurutnya, walaupun kenaikan tersebut dianggap sederhana oleh sesetengah pihak, namun dari aspek psikologi ia memberi isyarat bahawa sumbangan serta peranan penjawat awam masih dihargai kerajaan.
“Secara realistik, kenaikan gaji itu tidak memberi keselesaan sepenuhnya namun membantu mengurangkan tekanan kewangan susulan peningkatan harga barangan asas seperti makanan, sewa, pengangkutan, utiliti serta komitmen jangka panjang.
“Bagi golongan pensyarah, kos tambahan seperti bahan pengajaran, keperluan teknologi, pembelian buku rujukan serta perbelanjaan berkaitan pendidikan semakin meningkat dan kenaikan gaji itu sekurang-kurangnya membantu menampung sebahagian kos,” katanya.
Bagaimanapun tambahnya, kenaikan gaji fasa kedua itu masih belum sepenuhnya setimpal dengan beban tugas dan skop tanggungjawab penjawat awam dalam sektor pendidikan tinggi.
Sementara itu, penerbit rancangan, Suriyana Radzlan, 42, berkata, kenaikan gaji amat diperlukan kerana kos sara hidup semakin meningkat.
“Kos sara hidup semakin tinggi dengan harga barang semakin meningkat di pasar raya dan kenaikan ini berlaku hampir setiap bulan,” katanya.
Seorang tentera, Muhammad Zulimran Zuber, 23, pula berkata, kenaikan gaji ini mampu membantu golongan belia sepertinya untuk mengumpul wang simpanan.
“Tidak dinafikan kos sara hidup memang tinggi, jadi kadang-kadang tidak dapat menabung sebab kena fokus pada keperluan asas,” katanya.-UTUSAN.










