Haramkan Grok X di Malaysia

Haramkan Grok X di Malaysia

Mingguan Malaysia 4 Januari 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil langkah mengharamkan penggunaan media sosial Grok X di negara ini sekiranya platform itu terus gagal mematuhi undang-undang tempatan serta tidak menunjukkan komitmen mengekang kandungan berbahaya.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, pematuhan X terhadap keperluan kawal selia tempatan, termasuk pengisytiharan jumlah pengguna dan kerjasama dengan pihak berkuasa dilihat tidak setara dengan platform global lain.

Katanya, sekiranya platform tersebut terus gagal bekerjasama dan mematuhi undang-undang sedia ada, tindakan tegas termasuk pengharaman wajar dipertimbangkan demi keselamatan pengguna.

“Jika pematuhan tidak wujud dan kerjasama juga gagal, maka pengharaman bukan lagi pilihan melampau, sebaliknya satu keperluan bagi melindungi rakyat daripada ancaman kandungan berbahaya di ruang digital,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam akhbar ini melaporkan, kecerdasan buatan (AI) Grok X berisiko tinggi mengancam keselamatan pengguna khususnya kanak-kanak dan remaja susulan keterbukaannya terhadap kandungan pornografi dan seksual yang terlalu meluas.

Siraj menambah, dasar kebebasan melampau yang diamalkan platform X yang dikenal pasti sebagai punca utama kegagalan sistem tapisan kandungan, sekali gus membolehkan bahan berunsur seksual, lucah dan ekstrem tersebar secara terbuka.

“Platform X paling teruk daripada segi keterbukaan kandungan dimana aktiviti pornografi, ekstremisme dan maksiat siber berkembang menjadi akar umbi platform ini.

“Apabila ramai pengguna menggunakan Grok untuk jana kandungan lucah, perkara itu akhirnya dihadam oleh algoritma dan membentuk data. Akibatnya, kandungan yang dipaparkan di platform tersebut cenderung ke arah unsur melampau,” katanya.

Tambahnya, keadaan itu amat membimbangkan kerana kawalan kandungan di X dilihat sangat longgar berbanding platform media sosial lain yang lebih proaktif melaksanakan tapisan ketat, khususnya melibatkan keselamatan kanak-kanak.

Beliau membandingkan situasi tersebut dengan platform seperti TikTok yang bertindak pantas menyekat siaran langsung atau kandungan sensitif termasuk imej melibatkan kanak-kanak.

“Di X, kandungan dark side bukan sahaja wujud malah berkembang dan berakar umbi dan pada akhirnya membentuk normalisasi terhadap kandungan tidak bermoral dalam kalangan pengguna,” katanya.

Tambah Siraj, kebebasan tanpa batas yang diamalkan platform berkenaan tidak boleh disamakan dengan konsep kebebasan bersuara dalam konteks Malaysia yang mempunyai nilai budaya, norma masyarakat serta kerangka perundangan tersendiri.

“Kebebasan bersuara bukan kebebasan melampau. Dalam negara ini, kita ada prinsip kedaulatan, undang-undang dan tanggungjawab melindungi golongan rentan, terutama kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN