SEOUL: Hampir 95 peratus pelajar sekolah menengah di Seoul dilaporkan mempunyai pengalaman menggunakan alat kecerdasan buatan (AI) generatif.
Kajian dikeluarkan pada Ahad juga mendapati, lebih 90 peratus guru menyuarkan kebimbangan terhadap kebergantungan pelajar yang semakin meningkat kepada teknologi berkenaan.
Menurut kajian Institut Penyelidikan dan Maklumat Pendidikan Seoul pada Julai lalu, 94.7 peratus daripada 26,541 pelajar yang disoal selidik pernah menggunakan AI generatif, termasuk ChatGPT dan Gemini.
Secara khususnya, 93.8 peratus pelajar menengah rendah dan 96.7 peratus pelajar menengah atas mengaku menggunakan alat AI generatif sekurang-kurangnya sekali.
Daripada pelajar yang menggunakan AI generatif, 80 peratus melaporkan menggunakannya untuk tujuan akademik, dengan 42.5 peratus bagi aktiviti di bilik darjah dan 35.7 peratus untuk belajar secara kendiri.
Kajian mendapati pelajar lebih kerap menggunakan AI generatif dalam subjek berkaitan bahasa seperti Bahasa Korea dan Bahasa Inggeris.
Dalam kelas Bahasa Korea, pelajar melaporkan menggunakan AI generatif untuk menyediakan tugasan bertulis, pembentangan, infografik visual, serta untuk merumuskan petikan bacaan.
Dalam kelas Bahasa Inggeris, pelajar menggunakan alat tersebut untuk menerjemah ayat dan perkataan, serta memeriksa sebutan.
Bagaimanapun, penggunaan meluas AI generatif dalam kalangan pelajar menimbulkan kebimbangan di kalangan guru mengenai bergantung terlalu banyak kepada teknologi.
Kira-kira 93.4 peratus daripada 3,334 guru yang disoal selidik percaya pelajar terlalu bergantung pada alat AI generatif, manakala 92.4 peratus menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan plagiarisme.
Selain itu, 92.5 peratus guru menyatakan mereka bimbang pelajar akan mengambil maklumat secara pasif, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka untuk berfikir secara kritikal.
Namun, kurang daripada separuh guru, 47.6 peratus berkata mereka pernah mengajar pelajar cara menggunakan AI generatif dalam kelas.
Lebih daripada 60 peratus guru menggunakan AI generatif bagi operasi bilik darjah. Sekitar 58.3 peratus menggunakannya untuk menulis penilaian pelajar, manakala 18.9 peratus menggunakannya untuk menyediakan rancangan pengajaran.- AGENSI










