PETALING JAYA: Penyanyi dan guru vokal, Shaffiq Erwin menegaskan bahawa satu-satunya kelemahan finalis program Talk To My Manager Musim 2, Anggrek hanyalah pada aspek vokal, manakala elemen persembahannya yang lain berada pada tahap yang terbaik.
Shaffiq Erwin, 36, bekata, dia percaya kelemahan tersebut mampu diatasi sekiranya Anggrek terus konsisten menjalani kelas vokal dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Menurutnya, keupayaan untuk memikat hati khalayak ketika beraksi di atas pentas merupakan satu kelebihan luar biasa yang ada dalam diri penyanyi cilik itu.
“Satu-satunya kelemahan Anggrek hanyalah pada vokal, namun kelebihan lain yang dimilikinya berada pada tahap yang sangat terbaik. Saya percaya jika dia terus berlatih dan memasuki kelas vokal dalam masa dua ke tiga tahun lagi, kualiti nyanyiannya akan menjadi lebih baik.
“Perkara yang paling penting adalah aura dia di atas pentas berjaya membuatkan orang ramai mahu menonton dan terpukau.
“Kadangkala ada penyanyi yang mempunyai suara sedap tetapi masih tidak mampu memukau penonton untuk melihat persembahan mereka, namun Anggrek mempunyai keistimewaan tersebut,” katanya menerusi satu hantaran di Threads miliknya.
Terdahulu, Anggrek mencuri tumpuan ramai apabila mempertaruhkan lagu Lagu Kesuma nyanyian asal Datuk Sri Siti Nurhaliza ketika beraksi di peringkat separuh akhir TTMM2 semalam.
Untuk rekod, Shaffiq merupakan sepupu kepada penyanyi, Ara Johari, dan terkenal dengan single berjudul Janjir.










