Dalam usaha memperkukuh ketelusan dan kecekapan sistem percukaian negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) melaksanakan sistem e-Invois secara berperingkat bagi memastikan setiap urus niaga perniagaan direkodkan secara digital, sistematik dan mematuhi peruntukan undang-undang.
Langkah ini selaras Agenda Digital Nasional dan Rancangan Malaysia Ke-13, yang menyokong usaha mempercepatkan transformasi digital dan ekonomi, malah memodenkan pengurusan rekod transaksi perniagaan selaras amalan percukaian yang menekankan ketelusan, ketepatan data dan pematuhan cukai.
Ia turut memperkemas proses audit, memudahkan penaksiran cukai dan membantu mengekang ketirisan hasil negara.
Dengan penggunaan teknologi digital secara menyeluruh, sistem ini meningkatkan keberkesanan pematuhan percukaian sekali gus mengukuhkan keyakinan pelabur dan masyarakat terhadap kecekapan sistem cukai negara.
Antara mekanisme penting di bawah pelaksanaan e-Invois ialah e-Invois bil kendiri yang membolehkan pembeli atau pihak yang membuat bayaran mengeluarkan e-Invois bagi pihak pembekal dalam situasi tertentu seperti yang telah diperincikan oleh HASiL dan ia berfungsi memastikan rekod urus niaga kekal lengkap terutamanya apabila pembekal tidak diwajibkan mengeluarkan e-Invois.
Walaupun kaedah ini diiktiraf dalam garis panduan rasmi, kefahaman terhadap skop penggunaannya amat penting bagi mengelakkan kekeliruan atau salah guna. e-Invois bil kendiri bukanlah pilihan menggantikan e-Invois biasa, sebaliknya hanya untuk keperluan khusus seperti ditetapkan.
Apa itu e-Invois Bil Kendiri
Secara asas, pembekal mengeluarkan invois sebagai bukti pendapatan dan pembeli menggunakan dokumen itu sebagai bukti perbelanjaan.
Namun, terdapat urus niaga yang membolehkan pembeli mengambil alih tanggungjawab ini melalui pengeluaran e-Invois bil kendiri yang diperincikan di bawah Seksyen 8, Garis Panduan Spesifik e-Invois yang dikeluarkan HASiL.
Ia bertujuan memastikan urus niaga melibatkan pembekal yang tidak tertakluk kepada kewajipan mengeluarkan e-Invois tetap direkodkan secara sah. Ini termasuk pembekal luar negara, individu bukan perniagaan serta urus niaga tertentu seperti bayaran faedah, pampasan atau pembelian balik saham.
Kategori transaksi yang memerlukan pembeli mengeluarkan e-Invois bil kendiri, antaranya:
• Pembayaran kepada ejen, pengedar dan pengagih;
• Pembelian barangan atau perkhidmatan daripada pembekal luar negara;
• Agihan keuntungan seperti dividen;
• Transaksi tertentu melalui platform e-Dagang;
• Pembayaran kemenangan pertaruhan dan perjudian;
• Transaksi dengan individu yang tidak menjalankan perniagaan;
• Pembayaran faedah tertentu seperti dalam garis panduan;
• Pembayaran tuntutan, pampasan atau manfaat insurans;
• Pembayaran berkaitan pengurangan modal, penebusan atau pembelian balik saham/unit dan urus niaga seumpamanya.
Dalam situasi ini, pembeli bertindak sebagai ‘pembekal’ bagi tujuan pengeluaran e-Invois dan perlu mengemukakannya kepada HASiL untuk pengesahan melalui saluran rasmi seperti Portal MyInvois atau integrasi API. Setelah disahkan, e-Invois itu menjadi dokumen sokongan sah bagi tujuan perakaunan dan percukaian.
Bukan Untuk Semua Urus Niaga
Penggunaan e-Invois bil kendiri tidak boleh disamakan sebagai alternatif umum bagi pengeluaran e-Invois. Ia hanya terpakai untuk kategori urus niaga yang ditetapkan dan bagi transaksi biasa melibatkan syarikat berdaftar yang mempunyai sistem perakaunan lengkap, pengeluaran e-Invois kekal menjadi tanggungjawab pembekal.
Penggunaan yang tepat dapat mengelakkan kekeliruan, pertindihan rekod atau ketirisan hasil yang boleh menjejaskan pematuhan cukai secara keseluruhan.
Mekanisme ini direka untuk:
• Menutup jurang pematuhan
• Mengelakkan pelaporan berganda
• Mengelakkan ketirisan hasil
• Memastikan rekod cukai lebih lengkap dan konsisten
Tanggungjawab Pembeli
Pembeli yang mengeluarkan e-Invois bil kendiri perlu memastikan keperluan berikut dipatuhi:
• Mengemukakan e-Invois kepada HASiL melalui saluran rasmi untuk pengesahan.
• Memastikan ketetepatan maklumat transaksi.
• Memberikan salinan e-Invois yang telah disahkan kepada pembekal sebagai bukti rekod urus niaga.
• Mematuhi tempoh masa pengeluaran invois yang ditetapkan.
Ketetapan berkaitan e-Invois bil kendiri merupakan sebahagian daripada keseluruhan kerangka pelaksanaan e-Invois yang bertujuan memastikan rekod urus niaga kekal sah, teratur dan telus.
e-Invois memantapkan pentadbiran percukaian melalui data transaksi yang tepat, mengurangkan risiko pemalsuan dokumen, meningkatkan keberkesanan audit dan menyokong usaha kerajaan mengekang ketirisan hasil negara.
Dengan rekod urus niaga yang lebih tersusun, penyedia perkhidmatan percukaian seperti audit, perakaunan dan pemfailan cukai dapat beroperasi secara lebih sistematik serta mematuhi kehendak undang-undang.
Mengapa Ia Penting?
e-Invois bil kendiri memastikan transaksi yang sebelum ini sukar didokumentasikan tetap direkod dalam sistem. Ia membantu memperkukuh tuntutan kos perniagaan yang sah, menyokong potongan cukai yang tepat dan mengurangkan risiko pelaporan tidak tepat.
Keseluruhannya, mekanisme ini menyumbang kepada sistem percukaian yang lebih adil, telus dan boleh dipercayai.
Seiring perkembangan fasa pelaksanaan e-Invois, sokongan positif sektor perniagaan dan masyarakat menunjukkan tahap kesediaan yang semakin kukuh dalam mematuhi ketetapan percukaian negara.
e-Invois bukan sekadar memudahkan urusan percukaian, malah menyokong ekosistem perniagaan yang lebih mampan, telus dan diyakini. Dengan rekod urus niaga yang patuh undang-undang, sistem ini menyumbang kepada pemantapan hasil negara demi manfaat bersama.










