CRANS-MONTANA: Penyiasat percaya kebakaran maut yang memusnahkan sebuah bar di pusat peranginan pergunungan Alps, Switzerland semasa sambutan Tahun Baharu, berkemungkinan berpunca daripada bunga api yang diletakkan pada botol minuman keras.
Ketua Peguam Daerah Valais, Beatrice Pilloud berkata, kejadian mungkin tercetus daripada bunga api yang diletakkan pada botol minuman keras dan dipegang terlalu hampir dengan siling sehingga menyebabkan kebakaran yang meragut 40 nyawa serta mencederakan lebih 100 individu lain.
Pilloud berkata, rakaman telefon bimbit dan kenyataan saksi menunjukkan kebakaran merebak dengan pantas.
“Kebakaran berkemungkinan bermula daripada bunga api yang dipasang pada botol champagne dan diletakkan terlalu dekat dengan siling. Daripadanya, api merebak dengan sangat cepat.
“Jika keadaan itu berlaku, dan individu berkenaan masih hidup, kes akan dibuka terhadap mereka,” katanya pada sidang media di bandar Sion semalam.
Seorang pemilik bar itu dilaporkan memberitahu media tempatan, premis berkenaan diperiksa tiga kali dalam sepuluh tahun lalu dan semua perkara dilakukan mengikut peraturan.
Pihak berkuasa masih menjalankan proses pengecaman rasmi bagi 40 mangsa yang maut dalam kebakaran itu, dengan komander polis Frédéric Gisler berkata ia sebagai keutamaan.
Ramai yang cedera masih berada dalam keadaan kritikal dan “masih berjuang untuk hidup,” kata presiden wilayah Valais, Mathias Reynard.
Daripada mereka yang cedera, 113 dikenal pasti secara rasmi, menurut Gisler. Jumlah itu termasuk 71 rakyat Switzerland, 14 rakyat Perancis, 11 rakyat Itali, serta empat rakyat Serbia.
Proses pengecaman rasmi bagi enam mangsa lain masih dijalankan, dan beliau menasihati angka itu mungkin berubah.
Sekitar 50 individu yang cedera telah atau akan dipindahkan ke negara Eropah untuk rawatan di pusat pakar bagi kes terbakar teruk, kata Reynard.
Antara yang cedera ialah Tahirys Dos Santos, pemain bola sepak Perancis berusia 19 tahun, menurut kenyataan kelabnya, FC Mertz. Dos Santos mengalami kecederaan terbakar teruk dan dihantar ke Jerman menggunakan pesawat untuk rawatan.
Keluarga mangsa yang masih hilang selepas kebakaran menunggu maklumat terkini daripada pihak berkuasa pada Jumaat malam.- AGENSI










