BN menang banyak kerusi jika MN dihidupkan semula

BN menang banyak kerusi jika MN dihidupkan semula

NEOW CHOO SEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) berpotensi merampas semula kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) khususnya di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis sekiranya Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan Pas dihidupkan semula.

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, keberkesanan gabungan MN bergantung kepada keikhlasan rundingan, pembahagian kerusi yang adil serta peranan setiap parti dalam gabungan tersebut.

Beliau berkata, MN meski­pun berpotensi menguntungkan UMNO dan BN namun ia bergantung bagaimana gabungan itu dibentuk, pimpinan serta naratif dan nilai yang dibawa kepada rakyat.

“Berdasarkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, perpecahan undi Me­layu antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan antara faktor utama kemerosotan prestasi BN.

“Banyak kerusi marginal tewas dengan majoriti tipis akibat pertandingan tiga atau empat penjuru yang akhirnya merugikan BN sendiri.

“Dari sudut matematik dan realiti pilihan raya, MN berpotensi menyatukan undi Melayu dan memberi kelebihan kepada BN untuk merampas kembali kerusi-kerusi tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mengesyorkan supaya MN serta kerjasama politik UMNO dan Pas dihidupkan semula.

Choo Seong yang juga Pe­ngarah Komunikasi Pemuda BN berkata, realiti demografi Malaysia yang berbilang kaum juga perlu diambil kira kerana sentimen pengundi bukan Melayu dan Melayu bandar kerana sebahagian daripada mereka kurang selesa dengan politik sempit, konservatif atau berasaskan emosi perkauman.

Malah katanya, jika MN dihidupkan semula, ia tidak boleh sekadar menjadi platform untuk agihan kerusi, melindungi individu tertentu atau memenuhi agenda balas dendam politik.

“MN perlu dibina berteraskan agenda rakyat termasuk menangani kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan dan masa depan generasi muda serta disokong kepimpinan bersih, berwibawa dan berprinsip.

“Rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan harapan dan kepercayaan bukan sekadar pakatan atau gabungan.

“BN hanya mampu kembali sebagai kuasa nasional yang diyakini sekiranya kekal mengamalkan politik matang yang mengutamakan rakyat, bukan politik emosi atau kepentingan sempit,” katanya.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim pula berkata, ketika ini bukan waktu yang tepat untuk menilai untung atau rugi sekiranya UMNO menyertai MN.

Beliau berkata, perkara pa­ling penting adalah memastikan semua pihak berlandaskan keikhlasan demi Melayu dan Islam kerana tanpa keikhlasan, agihan kerusi boleh menjadi masalah pada PRU16.

Katanya, persoalan kini sama ada Pas bersedia mengorbankan kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Perlis.

“UMNO, Pas dan Bersatu berada dalam segmen politik yang sama iaitu Melayu-Islam. Sejarah menunjukkan UMNO tidak pernah bertanding di kerusi se­perti DAP, misalnya Kepong atau Seputeh.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN