SHAH ALAM: Kemasukan darjah satu bagi kanak-kanak sewal usia enam tahun dibimbangi memberi kesan kepada keluarga di luar bandar serta golongan B40 apabila kumpulan itu didakwa akan menjadi mangsa utama dasar itu.
Dakwaan sedemikian apabila ketika ini akses pendidikan prasekolah berkualiti dikatakan tidak seimbang apabila kekurangan guru terlatih bagi bidang itu serta jurang sosio ekonomi menjadikan tahap kesiapsiagaan murid dalam kumpulan itu jauh ketinggalan.
Ketua Penerangan Wanita Perikatan Nasional (PN), Nurul Syazwani Noh berkata, beliau memandang serius dasar baharu diumumkan oleh kerajaan yang sepatutnya tidak dibuat berdasarkan umur semata-mata.
“Melaksanakan dasar seragam tanpa intervensi bersasar hanya akan melebar jurang pendidikan dan menginstitusikan ketidakadilan sejak hari pertama persekolahan.
“Saya ingin mengingatkan kerajaan, umur tidak menjamin keupayaan belajar. Sistem pendidikan yang memaksa kanak-kanak menyesuaikan diri dengan struktur, tanpa mengambil kira tahap perkembangan sebenar mereka, adalah sistem yang gagal memahami fungsi pendidikan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kemasukan ke tahun satu persekolahan pada usia enam tahun sebagai antara perkara utama terkandung dalam Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, perubahan usia memasuki persekolahan itu belum diwajibkan, sebalinya ibu bapa mempunyai pilihan sama ada mahu anak mereka mula bersekolah pada usia enam atau tujuh tahun.
Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang berkata, sebaliknya kerajaan perlu fokus kepada penyelesaian masalah membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan kanak-kanak di peringkat umur itu apabila kecicirannya diakui sendiri oleh Kementerian Pendidikan.
“Kementerian sendiri mendedahkan kegagalan sistem yang jelas. Lebih 27 peratus murid tahun satu masih gagal menguasai kemahiran asas 3M pada peringkat awal persekolahan. Ini bermakna lebih satu perempat kanak-kanak dipaksa memasuki sistem pembelajaran formal tanpa asas minimum untuk belajar.
“Kesan kegagalan 3M bukan bersifat sementara. Ia membentuk rantaian masalah yang berpanjangan, murid terus ketinggalan dalam semua mata pelajaran, hilang keyakinan diri, tertekan secara emosi dan akhirnya tercicir secara senyap daripada sistem pendidikan,” jelasnya.
Katanya lagi, dalam keadaan sedemikian, langkah menurunkan umur kemasukan sekolah bukan satu pembaharuan, tetapi satu paksaan yang berisiko menghukum anak-anak. – UTUSAN










