KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Angkatan Tentera Ke-23, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar akan menggunakan sistem keadilan negara untuk menjawab segala tuduhan yang dikenakan terhadapnya sekaligus membersihkan namanya daripada sebarang tohmahan.
Malah, Mohd. Nizam sanggup menangguhkan dan menjadualkan semula tiga prosedur pembedahan bagi memberi ruang kepada siasatan ke atasnya dilengkapkan segera.
Perkara itu dinyatakan oleh peguam belanya, Abdul Aziz Hamzah ketika mengemukakan rayuan bagi mengurangkan jumlah ikat jamin yang dicadangkan oleh pendakwaan.
Pihak pendakwaan Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin selepas bekas pegawai tentera itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
“Tertuduh telah berkhidmat selama 42 tahun dan telah memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada Angkatan Tentera. Tertuduh berhasrat untuk menggunakan sistem keadilan negara untuk menjawab segala pertuduhan dan membersihkan namanya.
“Selain menanggung keluarga, tertuduh juga menanggung kedua ibu bapanya yang masing-masing berusia 80 dan 82 tahun. Tertuduh bersetuju untuk mematuhi syarat tambahan termasuk tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.
“Saya merayu satu jumlah jamin yang minima iaitu RM100,000 bagi kesemua pertuduhan,” kata peguam itu.
Terdahulu, Mohd. Nizam,60, yang hadir bertongkat didakwa ketika berpangkat Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia dan mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk suapan RM552,481.90 dengan melantik lima syarikat bagi pembekalan barangan untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025.
Beliau didakwa telah melantik Sinar Bakti Global untuk pembekalan kain pelikat, Sinar Raudhah Global (kain batik) dan Zahra Jaya Global (Multifunctional Folding Pliers), QMZ Resources (tuala mandi) dan Helmee Resources (beg galas).
Keseluruhan kerja-kerja pembekalan barangan bungkusan hari raya itu bernilai RM1,822,481.90.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 24 Jun 2024, di Kementerian Pertahanan Malaysia, 15, Jalan Padang Tembak, Kementah di sini.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, Mohd. Nizam sebagai AKSPA dan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT telah melakukan pecah amanah wang organisasi itu berjumlah RM3 juta dengan membuat pelaburan tambahan di dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan jawatankuasa itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 4 Oktober 2024 di Kementerian Pertahanan Malaysia, 15,Jalan Padang Tembak, Kementah di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau maksimum 20 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan keempat, Mohd. Nizam sebagai Panglima Tentera Darat Angkatan Tentera Malaysia telah menerima wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada Pengarah Syarikat Aspen Red Sdn. Bhd. yang diketahui ada kaitan dengan urusan yang akan dijalankannya.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pada bulan Mac 2025 di Wisma Transit Kuala Lumpur, Jalan Buku Lima, Kementah di sini.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Ketika menyentuh isu jamin, Ahmad Akram yang dibantu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman an Nudzuwa Abd. Latip memaklumkan bahawa tiga pertuduhan pertama iaitu menggunakan kedudukan untuk suapan dan pecah amanah merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.
“Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah tidak boleh dijamin, namun mahkamah mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.
“Kami tidak membantah jika Yang Arif ingin menggunakan budi bicara itu tetapi mengambil kira keseriusan kesalahan dan kedudukan tertuduh dalam masyarakat, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.
“Pendakwaan juga memohon agar pasport atau dokumen perjalanan lain sepert pasport diplomatik jika ada, diserahkan kepada mahkamah untuk disimpan. Tertuduh juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan yang akan disenaraikan kemudian sepanjang perbicaraan berlangsung,” katanya.
Ketika ditanya mengenai syarat tambahan yang biasa diminta oleh pendakwaan iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM, Ahmad Akram berkata:”Bagi saya tidak perlu kerana pada masa sekarang, kita boleh kesan orang di mana-mana.”
Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin RM180,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 31 Mac ini.
Menurut laporan berita kelmarin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam satu sidang media memaklumkan dua lagi pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bergelar ‘Datuk’ dijangka didakwa berkaitan rasuah minggu depan. – UTUSAN










