KUALA LUMPUR: Tiada sebarang klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) yang menjejaskan dasar bumiputera atau memberikan sebarang hak istimewa kepada syarikat negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam konteks kepentingan domestik dan peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perjanjian ART juga tidak mengehadkan peranan GLC dalam pembangunan ekonomi negara.
Katanya, kerajaan kekal mempunyai kuasa penuh untuk menentukan bentuk sokongan yang bersesuaian termasuk inisiatif bertujuan memperkukuh ekonomi domestik serta kesejahteraan rakyat.
“Bagi isu berkaitan cukai digital, ART tidak menghalang Malaysia daripada mengenakan cukai digital selagi pelaksanaannya tidak mendiskriminasi syarikat AS.
“Setiap perjanjian perdagangan antarabangsa yang dirundingkan termasuk ART Malaysia dengan AS dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati bagi memastikan kepentingan domestik serta kedaulatan negara tidak terjejas.
“Setiap komitmen yang dipersetujui melalui perjanjian ini adalah selaras dengan undang-undang domestik sedia ada dan memberi keutamaan kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen semalam.
Beliau menjawab soalan Mohd. Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai langkah kerajaan memastikan peruntukan ART Malaysia-AS tidak mendiskriminasi kepentingan domestik termasuk keupayaan menyokong GLC, dasar bumiputera, kutipan cukai digital, perlindungan industri pertanian dan perikanan tempatan serta autoriti badan kawal selia strategik negara.










