Amerika ‘rampas’ minyak Venezuela

Amerika ‘rampas’ minyak Venezuela

PENUNJUK perasaan memakai topeng Presiden Donald Trump semasa demonstrasi yang mengutuk serangan AS ke atas Venezuela dan penahanan Nicolas Maduro, di hadapan kedutaan AS di Seoul.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pihak berkuasa sementara Venezuela akan membekalkan 30 hingga 50 juta tong minyak ‘berkualiti tinggi’ kepada Amerika Syarikat (AS), selepas operasi ketenteraan mengejut yang menggulingkan pemimpinnya, Nicolas Maduro.

Presiden AS, Donald Trump berkata, minyak itu akan dijual pada harga pasaran, di mana wang tersebut akan dikawal olehnya sebagai presiden serta digunakan untuk memberi manfaat kepada rakyat Venezuela dan AS.

Dalam hantaran di Truth Social, Trump berkata, minyak tersebut akan diambil oleh kapal simpanan dan dibawa terus ke dok pemunggahan di AS.

Langkah itu dibuat susulan janjinya untuk ‘mengambil kembali’ rizab minyak Venezuela dan menghidupkan semula industri tenaga negara Amerika Latin yang merosot berikutan penangkapan Maduro.

Trump sebelum ini mendakwa, industri minyak AS akan ‘beroperasi’ di Venezuela dalam tempoh 18 bulan dan bersedia untuk melabur berbilion dolar bagi membina semula infrastruktur negara yang uzur.

Rumah Putih juga dilaporkan sedang merancang satu pertemuan di Pejabat Oval pada Jumaat dengan ketua-ketua syarikat minyak mengenai Venezuela, di mana wakil Exxon, Chevron dan ConocoPhillips dijangka hadir, menurut sumber.

Penganalisis berkata, memulihkan pengeluaran minyak Venezuela ke tahap yang hampir mencapai kemuncak memerlukan pelaburan besar dan mungkin mengambil masa bertahun-tahun.

Menurut anggaran syarikat perunding yang berpangkalan di Norway, Rystad Energy, sektor minyak Venezuela memerlukan pelaburan modal sekitar AS$110 bilion (RM445.8 bilion) untuk kembali kepada keluaran sekitar dua juta tong sehari seperti pertengahan 2010.

Namun, sesetengah pemerhati pasaran kekal skeptikal sama ada syarikat minyak AS akan komited melakukan pelaburan besar di negara itu, memandangkan lebihan bekalan minyak di pasaran global serta sejarah kerajaan Hugo Chavez yang pernah merampas aset syarikat asing.

ExxonMobil dan ConocoPhilips masing-masing dianugerahkan pampasan sebanyak AS$1.6 bilion (RM6.48 bilion) dan AS$8.7 bilion (RM35.25 bilion) melalui timbang tara antarabangsa susulan nasionalisasi sektor minyak oleh kerajaan Chavez pada 2007.

Caracas tidak membuat pembayaran dalam kedua-dua kes tersebut.

Venezuela pernah tersenarai sebagai antara pengeluar minyak terbesar di dunia, tetapi sekatan AS, kekurangan pelaburan, salah urus tadbir dan rasuah selama bertahun-tahun di bawah Maduro serta Chavez, telah mengecilkan sektor itu.- AL JAZEERA/AP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN