Amaran keras UMNO pihak cuba hakis agama, raja, Melayu

Amaran keras UMNO pihak cuba hakis agama, raja, Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO tidak sesekali berkompromi dengan tuntutan yang menghakis kedudukan agama Islam, kedaulatan raja-raja dan bangsa Melayu termasuk Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya tempatan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, peringatan itu terma­suk kepada rakan dalam Kerajaan Perpaduan dengan UMNO tidak sesekali membisu sekiranya tiga asas negara itu diganggu gugat.

Katanya, meskipun UMNO bersedia bekerjasama dengan parti lain demi rakyat dan negara, namun jika ada tangan mula menyentuh agama, bangsa, dan raja (3R), pihaknya akan menepis dengan segala kekuatan yang ada.

“Ingat ini! Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO.

“Amaran keras ini bukan sekadar retorik kosong di atas pentas. Prinsip Garis Merah ini bukan sekadar laungan sema­ngat untuk menyedapkan hati kamu semua,” katanya dalam ucapan Perasmian Serentak Sayap Wanita, Pemuda dan Pu­teri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Mohamad berkata, di sebalik cakap-cakap kononnya UMNO berdiam sejak berada dalam kerajaan, ia tidak bermakna parti itu sanggup berdiam demi menjaga hati rakan-rakan parti kerajaan Perpaduan.

Beliau mengambil contoh RUU PSB di mana menteri-menteri UMNO bertegas agar cadangan akta itu ditangguh dan di­semak semula setelah melihat hak milik tanah orang Melayu di bandar akan terhakis di atas nama pembangunan komersial.

“Kita tak mahu orang Melayu jadi kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Maka, menteri-menteri UMNO bertegas tangguh dan semak semula. Kita mesti bela hak pemilik tanah asal dulu. Kita jaga tanah bangsa,” katanya.

Selain itu katanya, UMNO membantah cadangan pilihan raya PBT oleh rakan-rakan parti kerajaan yang mahu ia dilaksana­kan atas nama de­mokrasi.

Mohamad berkata, UMNO mengetahui risiko polarisasi kaum di bandar jika pilihan raya itu dilakukan.

“Kita tahu jika ini dibuat, ketidakseimbangan kuasa akan berlaku dan mudaratnya lebih besar dari manfaat. Hasilnya? Hasrat itu tidak diteruskan. Siapa yang halang jika bukan UMNO?,” soalnya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, kepimpinan UMNO memahami keresahan sayap-sayap dan akar umbi berhubung kerjasama parti dalam kerajaan Perpaduan sehingga ada mendesak supaya keluar daripada kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu bukan jalan terbaik dan boleh membawa negara terjerumus ketidakstabilan dan huru-hara manakala rakyat menjadi mangsa.

“Tidak. Itu jalan mereka yang tunduk kepada emosi, bukan kerja negarawan. Bak kata orang tua-tua: Berfikir biar panjang, bertindak biar bijak.

“Jadi, menguruskan negara itu, pada saya secara ringkas­nya, adalah tentang bagai­mana UMNO memaksimumkan kedudukan kita sebagai kuasa pertengahan dan pengimbang. Dan bertindak sebagai parti politik yang bertanggungjawab,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN