AI jejas pentadbiran, khidmat pelanggan

AI jejas pentadbiran, khidmat pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor pentadbiran dan khidmat pelanggan dikenal pasti antara bidang pekerjaan yang paling terkesan susulan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas dalam operasi harian organisasi awam serta swasta.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hazlina Hamdan berkata, tugasan asas seperti pemprosesan data dan khidmat pelanggan berasaskan skrip kini semakin diambil alih oleh sistem automasi.

Katanya, AI berupaya melaksanakan tugasan secara lebih cekap, sistematik serta mampu beroperasi tanpa henti sekali gus menjadikan kos operasi lebih rendah dalam jangka panjang berbanding penggunaan tenaga kerja manusia.

“Bidang pekerjaan yang paling berisiko terkesan akibat automasi yang dipacu oleh AI ialah pekerjaan yang bersifat rutin, berulang dan mempunyai peraturan kerja yang tetap.

“Antara contohnya ialah perkhidmatan pentadbiran seperti kerja pemprosesan borang, invois dan kemasukan data. Tugas-tugas ini mudah diautomasi kerana AI dan sistem digital mampu memproses data dengan lebih pantas dan tepat berbanding manusia.

“Selain itu, pekerjaan khidmat pelanggan seperti operator pusat panggilan kini sudah digantikan dengan bot perbualan (chatbot) berteraskan AI. Penggunaan chatbot dan voicebot semakin meluas terutamanya dalam sektor perbankan dan telekomunikasi bagi menjawab pertanyaan asas pelanggan dan boleh bekerja 24 jam tanpa henti,” katanya kepada Utusan Malaysia.

15 Januari lalu, akhbar ini melaporkan, kita-kira 700,000 pekerja di negara ini akan dilatih semula bagi mengelak risiko hilang kerja akibat automasi yang dipacu oleh AI menjelang 2030.

la bagi memastikan mereka tidak terjejas dan memiliki kemahiran supaya mampu beralih ke bidang baru berasaskan Al.

Mengulas lanjut, Hazlina berkata, automasi yang dipacu oleh AI tidak menghapuskan pekerjaan sepenuhnya, sebaliknya mengubah bentuk pekerjaan sedia ada dengan hanya mengambil alih tugasan tertentu.

Katanya, peranan manusia kini berubah daripada melaksanakan kerja secara manual kepada bertindak sebagai penganalisis dan penyelia kepada sistem AI yang digunakan dalam organisasi.

“Manusia perlu mentafsir output AI, membuat penilaian kritikal dan memastikan hasil yang dihasilkan adalah tepat serta beretika.

“Walaupun mencabar, AI membuka peluang baharu dalam bidang teknologi, data dan automasi serta mencipta peluang kerja bernilai tinggi yang memerlukan kemahiran baharu,” katanya.

Tambah beliau, ketidakpadanan antara latihan dan keperluan sebenar industri turut menjejaskan kesiapsiagaan tenaga kerja menghadapi penggunaan AI.

“Amat penting institusi pengajian perlu berganding bahu bersama industri dalam memastikan graduan yang dilahirkan menyeimbangi keperluan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×