Abu Bakar pelawa wakil Pas sertai Exco

Abu Bakar pelawa wakil Pas sertai Exco

ABU Bakar Hamzah (dua dari kiri) bersalaman dengan Mohd. Shukri Ramli (tiga dari kanan) selepas Majlis Amanat Menteri Besar Perlis Bersama Penjawat Awam Tahun 2026 di Dewan 2020, Kangar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah mengutuskan surat kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bagi mempelawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas menyertai barisan Exco kerajaan negeri.

Abu Bakar berkata, beliau menghantar surat itu selepas mendapatkan pandangan daripada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, bagi peringkat awal ini, pihaknya akan melantik terlebih dahulu empat Exco terdiri daripada ADUN Bersatu di negeri ini.

“Walaupun kita faham Pas keluarkan arahan supaya tidak sertai barisan Exco kerajaan negeri, tapi semalam kita keluarkan satu surat kepada Presiden Pas mempelawa juga agar tiga dalam Pas dibawa masuk dalam kerajaan negeri,” katanya selepas Majlis Amanat Menteri Besar Perlis Bersama Penjawat Awam Tahun 2026 di Dewan 2020, di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, langkah itu selaras bagi mengekalkan hubungan antara parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) di negeri ini.

Sebelum ini, Pas mengumumkan tidak akan menganggotai barisan Exco yang akan dibentuk oleh Abu Bakar sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua anggota Exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Mohd. Shukri.

Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, jumlah minimum pelantikan Exco bagi membentuk kerajaan negeri adalah sebanyak satu pertiga daripada ADUN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN