X saman syarikat pemula cuba 'hidupkan semula' Twitter

X saman syarikat pemula cuba ‘hidupkan semula’ Twitter

ELON Musk membeli Twitter pada 2022 sebelum menjenamakan semula platform media sosial itu sebagai X.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: X milik Elon Musk memfailkan saman terhadap sebuah syarikat pemula selepas firma itu cuba membatalkan tanda dagangan Twitter dengan tujuan ‘menghidupkan semula Twitter’ sebagai platform media sosial baharu.

Dalam saman yang difailkan di mahkamah persekutuan Delaware pada Selasa, X menegaskan jenama Twitter masih ‘aktif dan bernilai’ serta tidak boleh dirampas oleh pihak lain.

X mendakwa, usaha syarikat pemula Operation Bluebird untuk mengambil alih nama itu merupakan satu bentuk pelanggaran tanda dagangan.

Bagaimanapun, pengasas Operation Bluebird, Michael Peroff, mempertahankan langkah syarikatnya, sambil mendakwa petisyen pembatalan itu dibuat berdasarkan prinsip undang-undang.

“Kami yakin akan berjaya dan bersedia membawa perkara ini sejauh yang kami perlukan untuk mencapai matlamat,” katanya dalam satu kenyataan balas terhadap saman tersebut.

Jurucakap dan peguam untuk X setakat ini belum memberikan maklum balas terhadap permintaan komen berhubung aduan tersebut.

Musk membeli Twitter pada 2022 dengan nilai AS$44 bilion (RM179 bilion) sebelum menjenamakan semula platform media sosial itu sebagai X.

Pada 2023, Musk menulis dalam satu hantaran di media sosial, syarikat itu akan mengucapkan selamat tinggal kepada jenama Twitter dan secara berperingkat, semua simbol burung.

Operation Bluebird yang berpangkalan di Virginia memfailkan permohonan kepada Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat (USPTO) pada 2 Disember bagi membatalkan tanda dagangan persekutuan Twitter milik X, dengan alasan syarikat itu sudah meninggalkannya.

Syarikat itu berkata, ia bercadang menggunakan tanda dagangan Twitter untuk melancarkan platform media sosial pesaing yang dinamakan twitter.new dan secara berasingan memohon untuk mendaftarkan tanda dagangan Twitter atas namanya sendiri.

Petisyen itu difailkan oleh bekas peguam tanda dagangan Twitter yang berkhidmat sebagai penasihat undang-undang kanan Operation Bluebird, Stephen Coates.

X memaklumkan kepada mahkamah, syarikat itu tidak pernah meninggalkan tanda dagangan Twitter dan jenama tersebut masih terus wujud dalam pelbagai bentuk.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN