KUALA KRAI: Seorang warga emas melecur 80 peratus di bahagian badan manakala anak perempuannya cedera di kaki selepas rumah mereka terbakar di Chuchuh Puteri, di sini, hari ini.
Kejadian sekitar pukul 1 tengah hari itu dipercayai berlaku selepas cucu kepada warga emas berkenaan terlanggar tong berisi minyak petrol hingga terjatuh dan pecah menyebabkan api merebak dengan cepat.
Difahamkan ketika itu, Rusiah baru
selesai membakar sampah di hadapan rumah.
Situasi itu menyebabkan mangsa Rusiah Deraman, 72, kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) dan dilaporkan kritikal serta terpaksa ditidurkan buat sementara waktu sementara anak perempuannya cedera di bahagian kaki.
Jiran mangsa, Shazwaniey Zahari, 34, berkata, kebakaran itu disedari semasa dia dan suami mahu keluar membeli makanan tengah hari.
Katanya, dia dan suami terkejut mendapati asap tebal keluar dari rumah nenek Rusiah sebelum terdengar jeritan meminta tolong.
“Saya bersama suami terus ke rumah Rusiah dan mendapati hampir seluruh badan warga emas terbakar, kecuali bahagian dada.
“Suami terus menarik dan mendukung nenek Rusiah untuk menyelamatkan diri. Bentuk muka kawasan rumah nenek Rusiah berbukit serta usia serta kesihatannya yang uzur menyukarkan warga emas itu bergerak dengan cepat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Shazwaniey memberitahu, suaminya terus membawa Rosiah ke hospital dan dia pula membawa cucu warga emas berkenaan ke rumah untuk dimandikan selepas badan kanak-kanak itu terkena tertumpahan minyak petrol.
“Api dengan cepat marak hingga menghanguskan bahagian hadapan rumah. Dua anak perempuan, seorang menantu lelaki serta tiga cucu terpaksa menyelamatkan diri keluar melalui tingkap dapur.
“Semasa kejadian, Rosiah tidak berada di rumah ketika kejadian kerana menunaikan solat Zohor berjemaah di masjid,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Nik Ahmad Asham Nik Pa berkata, seramai 11 anggota termasuk pegawai lain-lain pangkat dan bomba bantuan bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.13 tengah hari.
Katanya, setibanya di lokasi, Komander Operasi mengesahkan terdapat dua mangsa melecur.
“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital oleh jiran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.-UTUSAN










