KUALA LUMPUR: Polis menahan seramai 25 individu termasuk seorang warga Filipina dipercayai ‘ulat foto’ yang mensasarkan pelancong asing mengambil gambar dengan bayaran tertentu di sekitar Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan Jabatan Saloma, semalam.
Tangkapan itu dilakukan dalam satu operasi dijalankan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) semalam bermula pukul 10 malam hingga 1 pagi tadi susulan insiden pergaduhan yang dilaporkan sebelum ini di lokasi sama.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, siasatan mendapati kumpulan ini bergerak secara berkumpulan di lokasi tumpuan pelancong seperti KLCC dan Jambatan Saloma dengan mensasarkan pengunjung untuk mengambil gambar dengan bayaran tertentu.
Katanya, mereka menjadikan aktiviti ini sebagai sumber pendapatan tanpa mempunyai pekerjaan lain.
“Mereka bergerak dalam kumpulan tetapi tidak mempunyai ketua dan beroperasi secara bebas dengan masing-masing menarik pelanggan untuk mengambil gambar.
“Kesemua tangkapan berusia 16 hingga 48 tahun itu terdiri daripada 24 warga tempatan termasuk seorang wanita dan seorang lagi warga Filipina,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.
27 Mac lalu, media melaporkan polis menahan 18 individu susulan laporan seorang lelaki tempatan dan pelancong warga India dipukul sekumpulan lelaki di sekitar KLCC di sini pada 22 Mac.
Menurutnya, siasatan turut mendapati terdapat individu dalam tangkapan terdahulu menggunakan kad pengenalan meragukan yang tidak sepadan dengan cap jari.
“Semakan dilakukan bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati kad pengenalan itu tidak sepadan dengan cap jari pemegangnya, sekali gus menunjukkan mereka bukan warganegara.
“Bagi tangkapan terbaru, semakan lanjut masih dijalankan dengan kerjasama pihak JPN kerana kita meragui ketulenan dokumen pengenalan diri milik semua suspek,” katanya.
Sazalee berkata, pihak polis akan meneruskan operasi serta pemantauan di kawasan tumpuan pelancong bagi membanteras kegiatan berkenaan.
“Pihak polis akan terus menjalankan operasi secara berterusan bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong kekal selamat dan bebas daripada kegiatan jenayah.
“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan termasuklah kegiatan ulat foto sebegini,” katanya.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 25(1) Peraturan Pendaftaran Negara.
“Kesemua mereka direman selama tiga hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan.- UTUSAN









