CALIFORNIA: Sebuah keluarga di California meraikan musim perayaan pertama mereka selepas kelahiran seorang bayi yang membesar di luar rahim ibunya dalam satu kes kehamilan jarang berlaku.
Suze Lopez, 41, seorang jururawat jabatan kecemasan di Bakersfield, California, melahirkan bayi lelaki bernama Ryu melalui pembedahan pada Ogos lalu, sekali gus menjadikan sambutan Krismas tahun ini sebagai yang pertama buat bayi itu.
Ryu merupakan hasil kehamilan ektopik, iaitu keadaan apabila telur yang disenyawakan melekat dan membesar di luar rahim dan tersembunyi di sebalik satu sista ovari yang besar.
Doktor di Hospital Cedars-Sinai di Los Angeles menyifatkan kehamilan berisiko tinggi itu sebagai sangat jarang berlaku, dengan anggaran hanya satu dalam 30,000 kehamilan, dan merancang untuk mendokumentasikan kes tersebut dalam jurnal perubatan.
Pakar perbidanan hospital berkenaan, Dr John Ozimek berkata, kehamilan di luar rahim yang mampu mencapai tempoh penuh adalah hampir tidak pernah berlaku malah jauh lebih jarang daripada satu dalam sejuta.
“Ini benar-benar luar biasa,” katanya kepada Associated Press.
Lopez hanya mengetahui dirinya hamil beberapa hari sebelum bersalin. Sejak usia 20-an, dia berdepan masalah sista ovari dan sebelum ini pernah menjalani pembedahan membuang ovari kanan bersama satu lagi sista.
Selama beberapa bulan, doktor memantau satu sista seberat kira-kira 22 paun pada bahagian abdomen Lopez. Apabila mengalami kesakitan dan tekanan perut yang semakin teruk, beliau berjumpa doktor untuk membincangkan pembedahan membuang sista tersebut.
Namun, semasa temu janji itu, ujian kehamilan rutin mendapati beliau hamil.Walaupun keputusan ujian positif, Lopez tidak mengalami sebarang simptom kehamilan.
“Disebabkan sista ovari besar yang telah membesar selama bertahun-tahun, ia mungkin keputusan palsu, malah boleh disyaki kanser ovari,” kata Lopez dalam satu kenyataan media Cedars-Sinai.
“Saya juga sudah biasa dengan kitaran haid yang sangat tidak teratur dan ketidakselesaan perut. Saya tidak sangka selepas 17 tahun berdoa dan mencuba untuk mendapatkan anak kedua, saya benar-benar hamil,” katanya.
Beberapa hari kemudian, Lopez kembali ke hospital dengan sakit perut dan tekanan darah yang meningkat ke paras berbahaya. Pemeriksaan mendapati rahimnya kosong, manakala janin sebenarnya berada di dalam rongga abdomen.
Bayi Ryu dilahirkan pada 18 Ogos, dengan pasukan seramai 30 doktor turut membuang sista Lopez dalam prosedur yang sama.
Lopez dilaporkan kehilangan banyak darah semasa pembedahan, manakala Ryu dirawat selama dua minggu di unit rawatan rapi neonatal, menurut laporan SFGate. Bagaimanapun, ibu dan bayi tersebut pulih sepenuhnya. -AGENSI/AP










