UEC: Utamakan kaum, bahasa kebangsaan

UEC: Utamakan kaum, bahasa kebangsaan

ANWAR Ibrahim meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai ketika makan tengah hari di D’Jit Seafood, pekan Kuah, Pulau Langkawi, Kedah, semalam. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebarang tuntutan termasuk untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mana-mana tuntutan itu tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan.

“Saya tidak peduli siapa, parti mana, pengaruh mana. Kalau saya mahu didukung sebagai Perdana Menteri, saya mesti pertahankan prinsip Perlembagaan. Apa yang berbeza, perbezaannya ialah tuntutan itu tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa.

“Itu saya tidak setuju sama sekali. Bawa dahulu mesej pertahankan martabat Bahasa Kebangsaan kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa lain. Itu kita boleh terima,” katanya selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kelibang, di sini semalam.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, parti itu akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk meminta supaya kerajaan mengiktiraf UEC.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu juga mengulang pendirian DAP dalam usaha tersebut dan meminta masyarakat Cina supaya bersabar dan jangan khuatir.

Semalam, Penasihat DAP, Lim Guan Eng pula menyerahkan sepucuk surat sepanjang lima muka surat kepada Anwar yang berisi 10 cadangan disifatkannya sebagai perkara penting nasional.

Ahli Parlimen Bagan itu menekankan beberapa isu yang sebelum ini telah beliau kemukakan termasuk 10 peratus peruntukan khusus kepada bukan bumiputera berbanding peruntukan sedia ada serta mendesak tuntutan 40 peratus hasil Sabah diselesaikan segera.

Guan Eng turut mencadangkan Perdana Menteri mengkaji pengecualian kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada pelaksanaan e-invois dan sebagai langkah sementara kerajaan perlu menaikkan nilai ambang hasil tahunan perniagaan kepada RM5 juta.

Mengulas lanjut tuntutan itu, Perdana Menteri berkata, masalah akan timbul apabila wacana bahasa menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa sahaja, sehingga seolah-olah meletakkan kepentingan sesuatu kumpulan mengatasi prinsip bersama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini Malaysia, Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan sesiapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej satu-satu bahasa mesti ingat bahasa rasmi.

“Bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Yang itu kita noktahkan, jelaskan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak menutup ruang untuk memperkukuh penguasaan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Cina, Arab dan Tamil, namun semua usaha itu mesti dilakukan selepas martabat Bahasa Melayu dipertahankan dengan jelas.

“Kalau ini dah jelas, nak bangkit soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris, saya setuju. Tapi bahasa Melayu bahasa bidang teknologi baru, bahasa untuk AI (kecerdasan buatan), bahasa untuk bahasa ilmu itu mesti dimantapkan.

“Penguasaan bahasa itu harus baik dalam kalangan semua rakyat, semua aliran. Saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris mesti menguasai Bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah antarabangsa,” katanya.

Katanya, pelajar tempatan yang berada di sekolah antarabangsa mesti lulus dan menguasai Bahasa Melayu walaupun dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN