KANGAR: Kepemimpinan dan ahli Pas di seluruh Perlis diingatkan untuk menolak sebarang usaha yang cuba mengganggu-gugat pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali menegaskan, seluruh ahli parti perlu memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Mohd. Shukri demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri terus terpelihara.
“Kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Mohd. Shukri telah menunjukkan komitmen jelas dalam memperkukuh tadbir urus, menjaga kebajikan rakyat, serta mempertahankan prinsip Islam dan kepentingan ummah selaras dengan dasar perjuangan Pas dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu Ahmad berkata, kepemimpinan dan ahli Pas di semua peringkat perlu menolak sebarang agenda luar yang cuba menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri dan memperbaharui tekad dalam mengukuhkan kesepaduan, disiplin serta kebersamaan terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Katanya keperluan mempertahankan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar penting bagi memastikan kesinambungan agenda pentadbiran berteraskan integriti, keadilan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.
Mohd. Shukri turut merakamkan penghargaan kepada Pesuruhjaya Pas Perlis atas sokongan berterusan terhadap kepemimpinan beliau. Katanya, sokongan tersebut memperkukuh kesepaduan saf kepemimpinan dan memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat diteruskan dengan baik.
“Insya-Allah, dengan semangat kebersamaan dan keikhlasan perjuangan, kita akan terus melangkah ke hadapan demi Perlis lebih sejahtera, berintegriti dan diberkati Allah SWT,” katanya.-UTUSAN










