Thailand-Kemboja setuju henti perang sempadan - Trump

Thailand-Kemboja setuju henti perang sempadan – Trump

ANWAR Ibrahim bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa Majlis Menandatangani Perjanjian Damai Thailand-Cambodia di Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur. AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghentikan pertempuran di sempadan yang dipertikaikan, yang telah meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa minggu ini.

Pertempuran terkini antara dua jiran Asia Tenggara, yang berpunca daripada pertikaian lama mengenai sempadan sepanjang 800 km yang ditetapkan semasa era kolonial, juga menyebabkan kira-kira setengah juta penduduk terpaksa dipindahkan di kedua-dua belah pihak.

Setiap pihak saling menuduh pihak lawan mencetuskan semula konflik tersebut.

Tentera Thailand menuduh Kemboja menceroboh wilayahnya, dan terpaksa menggunakan hak untuk membela diri dengan tujuan menamatkan ancaman serta melindungi nyawa dan kedaulatan negara.

“Saya mengadakan perbualan yang sangat baik pagi ini dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, mengenai kebangkitan semula perang mereka yang malang dan berlarutan.

“Mereka bersetuju untuk menghentikan semua tembakan berkuat kuasa malam ini, dan kembali kepada Perjanjian Keamanan asal yang dibuat bersama saya dan mereka, dengan bantuan Perdana Menteri Malaysia yang hebat, Anwar Ibrahim,” kata beliau di platform Truth Social, merujuk kepada perjanjian yang dicapai pada Julai lalu.

Kedua-dua negara kini bersedia untuk mencapai perdamaian dan meneruskan perdagangan dengan AS, menurut Trump sambil mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas bantuan beliau.

Sebelum kenyataan Trump dikeluarkan, Anutin memaklumkan perbualannya dengan Presiden AS itu berjalan dengan baik.

“Perlu diumumkan kepada dunia bahawa Kemboja akan mematuhi gencatan senjata. Yang melanggar perjanjian perlu memperbaiki (keadaan), bukan yang menjadi mangsa pelanggaran,” kata Anutin.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN