JELI: Seorang tekong darat yang positif dadah tidak sempat menikmati upah RM1,000 membawa lima pendatang asing tanpa izin (PATI) Warganegara Myanmar selepas kereta dipandunya terbabas di jalan perumahan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Jeli di sini semalam.
Kesemua PATI termasuk tekong darat itu dicekup sepasukan anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli selepas mengesan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Kamaruzaman Harin berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah melihat sebuah kereta dari arah Jeli menghala ke Gerik, Perak dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemandu kereta tersebut telah bertindak memecut laju walaupun sudah diarahkan untuk berhenti oleh anggota MPV.
“Kereta tersebut bagaimanapun telah terbabas di tepi jalan. Pemandu kereta tersebut telah bertindak melarikan diri namun gagal selepas berjaya ditahan oleh anggota MPV.
“Pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menjumpai lima lelaki warganegara Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah masuk ke negara ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Kamaruzaman memberitahu, saringan air kencing mendapati pemandu kereta itu positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya, semua suspek telah dibawa ke IPD Jeli untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 55E/6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam,” ujarnya.-UTUSAN










