KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mempertimbangkan pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mencapai keputusan cemerlang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selari dengan pendirian bahawa pendidikan kepada rakyat sepatutnya diberikan pada tahap semurah mungkin dengan kemudahan diberikan kepada semua yang memerlukan bantuan.
Bagaimanapun, katanya, PTPTN ketika ini menanggung beban kewangan sehingga RM10 bilion, sekali gus usaha memberi pendidikan percuma itu perlu dilakukan secara berperingkat.
“Seperti mana yang dijelaskan sebelum ini, pendidikan percuma pada mulanya diberikan kepada 5,000 orang kemudian ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar miskin dan benar-benar memerlukan bantuan.
“Saya bincang juga dengan Kementerian Kewangan untuk mencari jalan bagi meningkatkan lagi bantuan untuk pelajar-pelajar miskin. Betul, itu boleh juga dipertimbangkan (pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pelajar cemerlang).
“Tapi dalam situasi kita berdepan masalah pada sekarang ini (beban kewangan PTPTN), kita cuba selesaikan perkara ini mengikut peringkat,” katanya pada program Temu Anwar Bersama Pelajar Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT) di sini hari ini.
Anwar menjawab soalan seorang pelajar universiti berkenaan sama ada kerajaan bersedia memberikan pengecualian bayaran balik PTPTN kepada pelajar IPTS yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang.
Menurut pelajar yang dikenali sebagai Xiao Xuan itu, ini kerana bukan semua mahasiswa termasuk yang menuntut di IPTS datang daripada keluarga berkemampuan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Madani di bawah kepimpinannya begitu tegas dalam membanteras amalan rasuah khususnya dalam mendapatkan semula dana kerajaan yang tiris atau hilang bagi membolehkan ia digunakan bagi sektor kesihatan dan pendidikan.
“Tahun lalu, kita selamatkan RM15.5 bilion bukan (daripada ketirisan) subsidi (tetapi) daripada amalan-amalan sakau. Negara tak boleh terus begini kerana wang itu bukan untuk saya tetapi untuk rakyat khususnya dari aspek pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri pada program sama menyerahkan replika cek geran daripada kerajaan berjumlah RM40 juta kepada TAR UMT yang diterima pengurusan universiti berkenaan termasuk Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Pendidikan TAR UMT, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Serentak itu, beliau turut mengumumkan lanjutan pengecualian cukai bagi tempoh 10 tahun lagi kepada Yayasan Pendidikan TARC yang mana pengecualian cukai itu sudah berakhir Disember lalu. – UTUSAN










