PUTRAJAYA: Bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan ahli perniagaan, Albert Tei akan didakwa di mahkamah hari ini atas pertuduhan rasuah.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam sidang akhbar, semalam.
Azam berkata, Shamsul Iskandar dan Tei dijangka berdepan lima pertuduhan berkaitan rasuah dan akan dituduh masing-masing di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Beliau berkata, siasatan kes berkenaan telah lengkap dan kedua-dua mereka akan dituduh di mahkamah mengikut Akta SPRM 2009.
“Esok, Shamsul Iskandar dan Tei akan berdepan empat pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur manakala, Jumaat ini pula satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
“Shamsul Iskandar akan dituduh mengikut Seksyen 17(a) (menerima suapan), manakala Tei pula akan dituduh mengikut Seksyen 17(b) (memberi suapan),” katanya.
Katanya, seorang lagi individu yang ditahan sebelum ini iaitu Sofia Rini Buyong tidak dituduh dan dia diklasifikasikan sebagai saksi.
Azam berkata, dalam tempoh seminggu siasatan, seramai 32 saksi telah dipanggil untuk dirakam percakapan, tidak termasuk tiga yang ditangkap.
Dalam perkembangan sama, Azam juga menafikan dakwaan dibuat isteri Tei kononnya pihaknya melanggar prosedur ketika serbuan di kediaman Tei baru-baru ini.
“Dakwaan itu tidak benar. Pegawai saya telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah menyerahkan senarai barang kepada Tei,” katanya.
Beliau turut menafikan pegawainya mengacukan pistol terhadap Tei.
“Ini (dakwaan) juga tidak benar. Laporan polis telah dibuat, bukti dan rakaman juga telah diserah kepada polis,” katanya.
Mengulas isu kenapa Tei ditahan lebih awal sedangkan beliau bersedia memberi keterangan, Azam menjelaskan, penahanan Tei dipercepatkan kerana ada asas untuk SPRM berbuat demikian.
“Dalam kes berprofil tinggi, siasatan kes adalah satu perkara yang mungkin sering berubah bila berlakunya ada keperluan.
“Siasatan awal yang telah dijalankan oleh pegawai saya menunjukkan ada asas untuk beliau dipanggil lebih awal, maka pegawai penyiasat telah arahkan beliau untuk hadir awal.
“Namun, dia (Tei) enggan untuk bekerjasama termasuk selepas notis diberikan. Maka, tindakan mengambil beliau di rumah terpaksa dijalankan oleh SPRM.
“Jadi, tindakan dari segi perubahan tarikh dan sebagainya adalah satu perkara yang biasa berdasarkan kepada keperluan kes berkenaan. Dan, tidak semua kes seperti mana kes kelaziman yang lepas,” katanya. – UTUSAN









