KANGAR: Barisan kepemimpinan baharu Perhubungan Pas negeri bagi sesi 2025-2027 menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas III.
Sebelum ini, Shahidan merangkap Ahli Parlimen Arau yang menang pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu turut dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.
Barisan kepemimpinan baharu itu menyaksikan Ahmad Ali sebagai Pesuruhjaya Pas negeri manakala Saad Seman merangkap Yang Dipertua Pas kawasan Padang Besar dan Yussaine Yahya sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kangar masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas I dan II.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dilantik Setiausaha Pas negeri manakala Sarudin Abu Bakar (bendahari).
Yang Dipertua Pas kawasan Arau, Solahudin Azmi pula diberi tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas negeri.
Seterusnya, sayap parti menyaksikan Ketua Dewan Ulama negeri, Ahmad Adnan Fadzil; Ketua Dewan Pemuda, Haziq Asyraf Dun dan Ketua Dewan Muslimat, Husna Hashim.
Sementara itu, Husna berkata, gabungan kepemimpinan tersebut akan menjadi kekuatan kepada Pas negeri dalam berdepan suasana politik semasa.
“Alhamdulillah, barisan kepemimpinan badan perhubungan Pas Perlis sudah berjaya dibentuk dan Insya-Allah kepimpinan yang ada ini akan memberi fokus kepada kebajikan ahli, gerak kerja dakwah dan gerak kerja untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16),” katanya.-UTUSAN










