KOTA BHARU: Kuala Krai menjadi jajahan terbaru di negeri ini yang dilanda banjir gelombang kedua selepas Gua Musang.
Menurut maklumat InfoBencanaJKM setakat pukul 10 pagi seramai 50 mangsa sedang berlindung di tiga buat pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, tiga PPS tersebut ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Laloh, SK Manek Urai Lama dan Madrasah Manek Urai.
“Jajahan Gua Musang pula, SK Lebir menjadi PPS tunggal setakat ini yang menempatkan 148 mangsa,” katanya.
Sementara itu, laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan paras air Sungai lebir di Kampung Tualang, Kuala Krai sudah melepasi paras bahaya.
Lain-lain sungai iaitu, Sungai Kelantan (Kuala Krai), Sungai Golok (Jenob, Tanah Merah), Sungai Golok (Rantau Panjang) melepasi paras amaran.
Sementara Sungai Galas (Limau Kasturi, Gua Musang), Galas (Ghegar Lapan, Kuala Krai), Lebir (Kampung Karangan) Sungai Kelantan (Kusial, Tanah Merah) berada pada tahap waspada.
-habis-










