KUALA SELANGOR: Selangor akan menggunakan teknologi jet patcher bagi menampal lubang pada jalan raya khususnya yang di bawah seliaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula tahun depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, dalam projek rintis baru-baru ini, teknologi tersebut dikenal pasti memberi impak besar seperti tampalan yang lebih berkualiti dan tahan lama.
“Untuk tujuan itu, kerajaan negeri memperuntukkan RM25 juta bemula tahun depan. Pelaksanaannya melibatkan lima zon dengan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi setiap zon. Ia akan dilakukan menerusi anak syarikat kerajaan negeri, Infrasel Sdn. Bhd.
“Setiap zon akan ada satu mesin jet patcher. Kita juga sediakan mesin tambahan sebagai sokongan jika terdapat mana-mana mesin di zon tertentu menghadapi masalah rosak dan sebagainya. Mesin tersebut juga akan digunakan setiap hari untuk membuat tampalan lubang,” katanya, semalam.
Tambahnya, selain jet patcher, turapan mega di seluruh negeri juga tetap diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta seperti dibentangkan Menteri Besar dalam Belanjawan Selangor 2026, bulan lalu. – UTUSAN









