Roboh patung Dewa Vishnu, netizen India gesa boikot Thailand

Roboh patung Dewa Vishnu, netizen India gesa boikot Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Video yang memaparkan sebahagian patung Dewa Vishnu di sempadan Thailand-Kemboja dirobohkan, mencetuskan kecaman meluas di media sosial termasuk gesaan memboikot Thailand dalam kalangan netizen India.

Rakaman yang tersebar di platform X dan Instagram itu dipercayai memaparkan jentera berat merosakkan patung yang dibina pada 2014 dan terletak di kawasan An Ses, Kemboja, kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand.

Susulan penyebaran video tersebut, tanda pagar #boikotThailand dan #boikotPattaya mula trending, dengan beberapa pengguna media sosial menuduh negara Asia Tenggara itu menghina kepercayaan agama Hindu serta menyeru pelancong India mempertimbang semula rancangan melawat Thailand.

Beberapa hantaran media sosial juga menggesa pengikut membatalkan tempahan dan menekan Thailand dari segi ekonomi, dengan menyifatkan insiden itu sebagai serangan terhadap warisan Hindu.

Beberapa mesej turut mengaitkan kontroversi tersebut dengan ketegangan serantau di sepanjang sempadan Thailand-Kemboja.

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand menjelaskan tindakan tersebut bukan bertujuan menyerang simbol atau kepercayaan agama.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan bagi tujuan pengurusan kawasan dan keselamatan, serta tidak bermaksuh menunjukkan penghinaan terhadap mana-mana agama.

Pihak berkuasa turut menyatakan kekesalan sekiranya imej itu menimbulkan salah faham atau kegusaran.

Pegawai Thailand juga menjelaskan patung tersebut dibina di atas tanah yang dipertikaikan, mendorong campur tangan dalam kawasan yang dituntut oleh negara itu.

Justeru, Bangkok menekankan perkara itu tidak seharusnya ditafsirkan sebagai isu agama.

Pihak berkuasa Kemboja bagaimanapun menolak penjelasan Thailand. Jurucakap pihak berkuasa, Preah Vihear memberitahu media tempatan Kemboja mengecam perobohan patung dan kuil yang dihormati oleh penganut Buddha dan Hindu.

Pegawai Kemboja menegaskan patung tersebut terletak dalam wilayah Kemboja dan mempunyai kepentingan budaya bagi pelbagai komuniti agama.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN