Ribut musim sejuk ragut 16 nyawa di Gaza

Ribut musim sejuk ragut 16 nyawa di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Sekurang-kurangnya 16 orang dilaporkan maut dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk tiga kanak-kanak yang meninggal dunia akibat kesejukan, ketika ribut musim sejuk melanda wilayah Gaza, menurut Agensi Pertahanan Awam pada Jumaat.

Hujan lebat dibawa Ribut Byron sejak lewat Rabu membanjiri khemah serta tempat perlindungan sementara di seluruh Gaza, memburukkan lagi penderitaan penduduk yang hampir keseluruhannya terpaksa dipindahkan sepanjang lebih dua tahun konflik berlarutan.

Agensi itu, yang beroperasi sebagai pasukan penyelamat di bawah pentadbiran Hamas, memaklumkan kepada AFP tiga kanak-kanak terbabit meninggal dunia akibat terdedah kepada cuaca sejuk, masing-masing dua di Gaza City dan seorang di Khan Younis, selatan wilayah berkenaan.

Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza mengesahkan kematian Hadeel Al-Masri, 9, dan Taim Al-Khawaja, yang dilaporkan masih berusia beberapa bulan.

Hospital Nasser di Khan Yunis pada Khamis memaklumkan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, Rahaf Abu Jazar, meninggal dunia akibat kesejukan di sebuah penempatan khemah di Al-Mawasi, berhampiran kawasan itu.

Dengan kebanyakan bangunan di Gaza musnah atau rosak, ribuan khemah dan tempat perlindungan sementara kini memenuhi kawasan yang dibersihkan daripada runtuhan.

Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal berkata, enam orang maut apabila sebuah rumah runtuh di kawasan Bir Al-Naja, di utara Semenanjung Gaza.

Tambahnya, dua lagi mayat ditemukan dari runtuhan sebuah rumah di kejiranan Sheikh Radwan, Bandar Gaza.

Menurutnya, lima lagi orang maut apabila dinding runtuh dalam beberapa kejadian berasingan.

Dalam satu kenyataan, pertahanan awam berkata pasukannya memberi respons terhadap panggilan kecemasan daripada ’13 rumah yang runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang, kebanyakannya di Gaza City dan kawasan utara’.

Di bawah langit mendung di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, penduduk Palestin menggunakan mangkuk, baldi dan cangkul untuk cuba mengalirkan air yang bertakung di sekeliling khemah plastik mereka.

Kanak-kanak kecil, ada yang berkaki ayam dan ada yang hanya memakai selipar terbuka, terpaksa meredah dan melompat melalui lopak air berlumpur ketika hujan terus turun.

“Tilam sudah basah sejak pagi tadi, dan kanak-kanak tidur di atas alas yang lembap malam tadi. Kami tidak mempunyai pakaian kering untuk ditukar,” kata Umm Muhammad Joudah kepada AFP.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN