PUTRAJAYA: Muafakat yang wujud menjadikan Kerajaan Perpaduan terus kekal mantap tanpa sebarang unsur pengkhianatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semangat kerjasama antara parti-parti dalam gabungan kerajaan hari ini juga dibina atas dasar keikhlasan.
“Saya bersyukur kerana muafakat Kerajaan Perpaduan lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj (atau) khianat seperti yang berlaku di kalangan rakan-rakan lain,” katanya menerusi sidang akhbar khas di Bangunan Perdana Putra, di sini semalam.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung senario terkini politik yang berlaku di Perlis.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bermula 1 Januari ini.
Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kepemimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada beliau selama memimpin gabungan itu sejak penubuhannya lima tahun lalu.
Terdahulu, hubungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bergelora ekoran tindakan lapan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis menarik sokongan kepada ADUN Sanglang, Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.
Mohd. Shukri kemudian meletakkan jawatan sekali gus menyebabkan Pengerusi Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik mengetuai kerajaan negeri Perlis.
Sementara itu, bercakap mengenai rasuah, Anwar berkata, kerajaan tidak bertolak ansur dan bertindak tegas terhadap sebarang ugutan daripada mana-mana pihak dalam usaha memerangi rasuah sama ada daripada pihak lawan atau dalam kalangan rakan sekutu sendiri.
Katanya, meskipun Kerajaan Perpaduan memberi penekanan kepada prinsip tatakelola dan dasar anti-rasuah, namun masih terdapat segelintir pihak yang terperangkap dengan pola budaya lama yang bobrok atau rosak.
“Selanjutnya saya nak maklumkan, saya baru (pulang dari) Istana Johor, mengadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. Antara perkara utama yang dibincangkan ialah tentang langkah-langkah tegas tahun kebelakangan ini dan juga mutakhir ini terhadap rasuah yang menular di peringkat atasan.
“Meskipun kerajaan Madani telah menegaskan bahawa di antara dasar utamanya adalah menekankan isu tatakelola dan menghapuskan amalan rasuah. Namun masih ada saki baki yang terperangkap dengan kerangka dan pola budaya lama yang bobrok.
“Saya tentunya menyampaikan maklumat terkini (berdasarkan) hasil siasatan cuma (saya) menekankan bahawa kita tidak akan bertolak ansur, tidak akan menerima apa-apa ugutan dari mana-mana pihak dan kita akan tegas menghadapi masalah ini sama ada kawan atau lawan,” katanya. – UTUSAN










