KOTA BHARU: Penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dijangka akan dibentang tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd. Asri Mat Daud berkata, proses itu sudah berada pada tahap akhir penilaian selepas melalui beberapa siri perbincangan dan penelitian melibatkan jawatankuasa induk serta jawatankuasa pelaksana.
Katanya, November lalu jawatankuasa pelaksana telah bertemu dengan Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) untuk mengadakan perbincangan sekiranya ada perkara yang perlu diubah.
“Sehingga kini, kita boleh anggap perkara ini sudah berada di tahap akhir. Mengikut jangkaan enakmen ini boleh dibentang pada akhir 2025.
“Namun, proses pindaan tidak semudah yang disangka dan perlu dilakukan dengan cermat. Hal ini kerana ia melibatkan teguran yang perlu dipinda dan ubah supaya ia berada dalam keadaan lancar,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri memberitahu, pindaaan ke atas 16 seksyen digubal dalam format terbaik bagi menggelakan undang-undang itu dicabar selepas ini.
Katanya, perkara-perkara yang melibatkan cabaran dari sudut undang-undang turut perhatian. Jika ada yang mahu cabar selepas ini, itu luar bidang kuasa kita. Tapi Kelantan buat perubahan untuk pastikan undang-undang ini dapat dilaksanakan.
“Bukan semua 16 itu akan keluar 16, tapi kita rangkum dengan ‘resepi’ yang lebih cermat dan efisien sekali gus menepati Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Utusan Malaysia 9 Januari lalu melaporkan, penggubalan semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan dijangka dapat dilakukan dalam tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Wan Rohimi Wan Daud berkata, draf cadangan pindaan kesemua seksyen berkenaan hampir siap dan dapat dibentangkan kepada Jawatankuasa Induk Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 dalam masa terdekat.-UTUSAN










