RANTAU PANJANG: Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki dan merampas lebih satu kilogram (kg) ketulan mampat ganja di jalan besar pekan Rantau Panjang di sini semalam.
Penahanan suspek berusia 50 tahun itu dilakukan pada pukul 6.45 petang hasil rondaan berkala menerusi penugasan Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah menahan sebuah kereta yang dipandu lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksan ke atas kereta itu telah menjumpai 1.058 kg ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja.
“Saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis meth.
“Anggaran nilai rampasan termasuk kereta berjumlah RM14,000,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Katanya disiasat di bawah Seksyen 39B dan 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952.-UTUSAN










