Perlis tidak akan pertimbang kelulusan projek mineral berat sebelah: MB - Utusan Malaysia

Perlis tidak akan pertimbang kelulusan projek mineral berat sebelah: MB

MOHD. Shukri Ramli membentangkan Belanjawan Perlis 2026 di Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis semalam.-UTUSAN/ADIB AMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri tidak akan mempertimbangkan sebarang kelulusan model projek mineral berat sebelah atau hanya memihak kepada pihak industri sahaja.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, sebarang kelulusan projek mineral perlu memberikan pulangan ekonomi yang munasabah baik dari segi hasil langsung kepada negeri termasuklah peluang pekerjaan, pemindahan teknologi dan manfaat kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, langkah itu berikutan sumber mineral nadir bumi adalah merupakan aset strategik jangka panjang buat negeri.

“Kerajaan negeri juga selaras dengan aspirasi SG4 untuk terus komited memastikan hasil kekayaan bumi Perlis diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat serta generasi akan datang,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Mohd. Shukri menjawab pertanyaan dibangkitkan Megat Hashirat Hassan (Pauh-PN) berhubung pendirian dan pandangan kerajaan begeri berkaitan Perjanjian Timbal Balas Perdagangan atau Agreement on Reciprocal Trade (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Mohd. Shukri berkata, secara prinsipnya, kerajaan negeri menyokong usaha Kerajaan Persekutuan bagi mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia di pasaran global terutamanya melibatkan sudut kerjasama ekonomi digital yang akan menyumbang kepada pengukuhan perdagangan negeri, meningkatkan keupayaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan memacu pembangunan logistik.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa segala bentuk penerokaan, pembangunan dan pengurusan mineral termasuk sumber mineral nadir bumi (REE) yang terdapat di dalam sempadan Perlis adalah merupakan hak milik negeri sebagai mana termaktub di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang komitmen, perjanjian antarabangsa atau Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan sektor mineral tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan jelas dan muktamad daripada kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN