Perlis rekod kadar obesiti tertinggi - Utusan Malaysia

Perlis rekod kadar obesiti tertinggi

WAN BADARIAH WAN SAAD.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis menjadi negeri tertinggi merekodkan peratusan obesiti di negara ini dengan kadar sebanyak 32.8 peratus.

Selain itu, statistik terkini menunjukkan kadar prevalens diabetis di Perlis juga merupakan ketiga tertinggi di negeri-negeri seluruh Malaysia dengan kadar sebanyak 20.6 peratus.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, kerajaan negeri mengambil maklum penganjuran program seperti Food Festival merupakan salah satu inisiatif penting dalam merancakkan sektor pelancongan, namun isu kesihatan awam turut dititik beratkan termasuk kadar obesiti dan diabetis yang tinggi.

“Kerajaan negeri komited untuk memastikan pembangunan sektor pelancongan termasuk Food Festival dapat dilaksanakan secara strategik dan bertanggungjawab tanpa mengabaikan aspek kesihatan rakyat.

“Pendekatan bersepadu ini diharap dapat mengurangkan risiko obesiti dan diabetis dalam jangka masa panjang serta memupuk budaya pemakanan yang lebih sihat dalam kalangan rakyat Perlis,” katanya yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Datin Marzita Mansor bagi menjawab pertanyaan semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Perlis Ke-15, hari ini.

Wan Badariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dibangkitkan Megat Hashirat Hassan (Pauh-PN) berhubung tindakan pihak kerajaan negeri dalam mengawal penganjuran Food Festival di negeri ini selaras dengan kempen kesihatan dilaksanakan.

Beliau berkata, sehubungan itu, beberapa tindakan dilaksanakan kerajaan negeri bagi memastikan usaha-usaha melibatkan promosi pelancongan dan kesihatan rakyat dapat bergerak seiring tanpa memberi kesan negatif kepada kesejahteraan masyarakat.

“Antara usaha dilakukan ialah kerajaan negeri menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN