KANGAR: Kerajaan negeri memperkenalkan inisiatif Sumbangan Beras Prihatin Perlis dengan peruntukan RM105,000 bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, sumbangan bersasar itu akan diedarkan kepada pihak terlibat menerusi Pusat Khidmat Rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini juga sebahagian usaha menyediakan keperluan makanan asas di mana kerajaan negeri mahu memastikan rakyat berada dalam keadaan baik dan sihat. Kerajaan negeri juga akan terus berusaha memperluas program kebajikan yang memberikan kesan langsung demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Perlis 2026 di sini hari ini.
Mohd. Shukri berkata, buat masa ini, jumlah penerima inisiatif itu belum dapat diperincikan malah pelaksanaannya juga akan diumumkan secara lebih lanjut selepas ini.
Katanya, kerajaan negeri juga akan menggunakan data daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Baitulmal bagi mengenalpasti penerima layak.
“Kita akan selaraskan agar tak berlaku pertindihan malah pelaksanaan ini dijangka bermula pada Januari tahun depan. Pengagihan inisiatif itu akan dilaksanakan secara bulanan dan penerima terlibat perlu mengambil beras itu di pusat khidmat setiap DUN.
“Asnaf atau penerima yang layak itu perlu ke Pusat Khidmat di setiap DUN untuk melakukan pendaftaran bagi menerima bantuan itu,” katanya.-UTUSAN










