KLANG: Anggapan pihak berkuasa tidak periksa atau akan ‘terlepas pandang’ terhadap pengimportan minuman keras tidak menjadi apabila lebih 70,000 tin 500 mililiter (ml) bir dirampas dekat Pelabuhan Barat, di sini, Disember lalu.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, minuman beralkohol bernilai RM1.4 juta itu ditemukan dalam dua buah kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat.
Katanya, barangan tersebut dipercayai diikrarkan sebagai minuman keras, namun butirannya tidak seperti yang ditemukan dalam kontena berkenaan dengan anggapan ia tidak akan diteliti pihak berkuasa.
“Pemeriksaan dijalankan menemui 37,128 liter bir dipercayai tidak mempunyai permit import. Dagangan barangan tersebut dianggarkan bernilai RM304,820 dan cukai sebanyak RM1.09 juta.
“Siasatan awal mendapati barangan tersebut dibawa masuk dari sebuah negara di Asia ke Pelabuhan Klang pada 18 November tahun lalu. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambahnya, pengimportan minuman keras adalah tertakluk kepada Permit Import daripada Ketua Pengarah Kastam seperti di dalam Butiran 67, Bahagian I, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Selain itu, Mohamad Azhar memaklumkan kastam turut menyita sebuah kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara yang mengandungi cerut dan beras seberat lebih 10 tan metrik bernilai RM4.36 juta pada 29 Disember lalu.
“Pemeriksaan kami mendapati 6.25 tan cerut dan 3.9 tan beras dipercayai tidak mempunyai permit import. Siasatan awal mendapati kontena tersebut tiba di Pelabuhan Klang pada 12 Oktober tahun lalu. Ia diikrarkan sebagai foot wears bagi mengelak keperluan permit import.
“Pengimportan cerut dan beras adalah tertakluk kepada Permit Import oleh Ketua Pengarah Kastam juga seperti di dalam Butiran 66 dan Butiran 25. Kes masih dalam siasatan,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 hingga RM500,000 mengikut mana lebih tinggi.
Sabit kesalahan, suspek juga boleh dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun atau dengan denda sekali.
“JKDM menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat. JDKM memberi jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan,” katanya. – UTUSAN










