Perlis perintis pelaksanaan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2025 - Utusan Malaysia

Perlis perintis pelaksanaan Enakmen Pengangkatan Orang Islam 2025

Mohd. Shukri Ramli.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Enakmen Pengangkatan Orang Islam (Negeri Perlis) 2025 sekali gus menjadi perintis peruntukan undang-undang seumpama itu di negara ini.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kelulusan tersebut merupakan langkah progresif kerajaan negeri dalam memartabatkan undang-undang keluarga Islam.

Katanya, ia juga menjunjung titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Ujar beliau, enakmen tersebut memberi punca kuasa jelas kepada Mahkamah Tinggi Syariah untuk mendengar dan memutuskan permohonan pengangkatan anak bagi orang Islam.

“Sebelum ini, urusan pengangkatan hanya tertakluk di bawah bidang kuasa sivil tanpa peruntukan syariah yang khusus. Antara manfaat utama enakmen itu ialah penyelesaian isu mahram melalui susuan bagi kanak kanak bawah dua tahun.

“Ia turut memperincikan hak harta, nafkah dan penjagaan anak angkat bagi memastikan kebajikan mereka dijamin di bawah perintah Mahkamah,” katanya dalam sidang DUN di sini hari ini.

Katanya, pelantikan penjaga sementara (Ad Litem) turut diwajibkan sepanjang proses bagi mengelakkan unsur pemerdagangan atau penganiayaan.

Ujar beliau, melalui kelulusan tersebut, enakmen berkenaan diiktiraf Jabatan Pendaftaran Negara bagi tujuan pendaftaran rasmi pengangkatan, sekali gus mewujudkan ekosistem perundangan pengangkatan yang lebih teratur dan patuh Syariah di Perlis.

“Hasrat perluasan bidang kuasa Mahkamah Syariah itu sebelum ini telah diluluskan oleh Persidangan MAIPs Bilangan 5 2025 pada 2 Oktober lalu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN