Penthouse RM614 juta, Dubai rekod hartanah termahal di Asia Barat

Penthouse RM614 juta, Dubai rekod hartanah termahal di Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Dubai mencatat rekod dunia baharu dalam pasaran hartanah apabila penthouse paling mahal di Asia Barat dijual pada harga 550 juta dirham (kira-kira RM614 juta) di Bugatti Residences.

Transaksi itu, yang dimuktamadkan oleh Ketua Pegawai Jualan Binghatii, Abdullah Binghatti, menandakan harga tertinggi bagi setiap kaki persegi yang pernah direkodkan di Business Bay Dubai, iaitu 11,650 dirham (RM12,998) bagi setiap kaki persegi.

Pengerusi Binghatti, Muhammad Binghatti dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu menduduki tangga pertama dalam pasaran hartanah Dubai setakat tahun ini, dengan lebih 14,000 unit berjaya dijual, mengatasi pesaing awam atau swasta.

“Sebagai pemain hartanah Dubai yang paling pesat berkembang, Binghatti kini berada dalam tiga pemaju teratas di bandar itu, memegang bahagian pasaran yang ketara mengikut angka terkini Jabatan Tanah Dubai,” katanya.

Penthouse ultra-mewah itu merangkumi 47,200 kaki persegi dan merupakan sebahagian daripada Bugatti Residences, pembangunan kediaman pertama di dunia yang berjenama Bugatti.

Pembangunan itu menarik perhatian beberapa tokoh global, termasuk bintang bola sepak Neymar Jr., penyanyi tenor Itali, Andrea Bocelli dan pemain bola sepak profesional, Aymeric Laporte, yang membeli kediaman dalam projek tersebut.

Terletak di tengah-tengah Business Bay, Bugatti Residences menggabungkan reka bentuk bertemakan Perancis dan karakter metropolitan Dubai, serta menawarkan akses mudah ke kawasan perniagaan utama dan mercu tanda terkenal.

Projek itu menampilkan rumah ultra mewah, penthouse Sky Mansion, tahap privasi tinggi dan kemudahan eksklusif yang direka khas.

Menurut Binghatti, jualan yang memecahkan rekod itu menegaskan kedudukan Dubai sebagai hab hartanah mewah global dan menonjolkan fokus syarikat dalam menghasilkan pembangunan seni bina berkelas tinggi.

Binghatti Holding Limited merupakan antara pemaju hartanah yang paling pesat berkembang di Emiriah Arab Bersatu (UAE), dengan portfolio melebihi 80 projek bernilai lebih 70 bilion dirham (RM77.8 bilion).

Syarikat itu menjalin kerjasama dengan jenama global termasuk Bugatti, Mercedes-Benz, dan Jacob & Co., serta mempunyai penarafan kredit BB- daripada Fitch dan Ba3 daripada Moody’s.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN