KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan Parti Keluarga Malaysia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang diasaskannya.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, beliau juga tidak mengetahui mengenai kewujudan parti yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat baru-baru ini.
“Ini baru saya dengar mengenai Parti Keluarga Malaysia. Kalau betul ada, ia tiada kaitan dengan falsafah Keluarga Malaysia yang diperkenalkan semasa saya menjadi Perdana Menteri dahulu.
“Mungkin penggunaan nama itu agak mengelirukan dan dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
“Kita tunggulah jawapan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sama ada nama itu telah didaftarkan atau tidak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di Menara Aras Raya di sini hari ini.
Hari ini, Hamzah mengesahkan wujud perbincangan untuk mengambil alih Parti Keluarga Malaysia sebagai ‘rumah baharunya’ selepas dipecat Bersatu.
Hamzah berkata, perbincangan masih di peringkat awal dan belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan.
Ismail Sabri berkata, sekiranya parti tersebut benar-benar wujud dan didaftarkan secara rasmi, ia berpotensi memberi kesan langsung terhadap imej serta identiti Gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya di peringkat nasional.
Katanya, kekeliruan dalam penggunaan nama bukan sahaja boleh menimbulkan polemik politik, malah berisiko menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap inisiatif kebajikan yang dilaksanakan di bawah jenama Keluarga Malaysia.
“Melalui Yayasan Keluarga Malaysia, kami menerima sumbangan daripada orang ramai untuk membantu anak-anak yatim di bawah yayasan tersebut.
“Saya khuatir jika timbul kekeliruan, orang ramai mungkin tidak lagi berani menyumbang. Saya juga bimbang penipu akan mengambil kesempatan menggunakan nama yang sama,” katanya.
Katanya, beliau berharap RoS dapat membuat penelitian rapi dan mempertimbangkan implikasi penggunaan nama berkenaan bagi memastikan tiada penyalahgunaan atau kekeliruan yang boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat serta para penyumbang. – UTUSAN










