Pembersihan haram hutan punca banjir berulang

Pembersihan haram hutan punca banjir berulang

PAPARAN gambar yang diambil daripada dron menunjukkan aktiviti pembersihan hutan secara haram berlaku di Batu 18 yang menyebabkan kejadian banjir berulang di Hulu Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Penarahan bukit secara haram berhampiran Taman Damai, Batu 18, dikesan pihak berkuasa dan dipercayai menjadi punca utama kejadian banjir yang berulang melanda daerah ini sejak bulan lalu.

Ketua Kampung Batu 18, Mohammad Firdauz Mohd. Ayob, berkata, kerja tanah yang dijalankan di atas bukit itu meng­akibatkan bertan-tan pasir serta lumpur turun ke longkang penduduk, sekali gus menyebabkan longkang dan parit tersumbat setiap kali hujan lebat.

Katanya, beliau bersama pe­gawai Majlis Perbandaran Ka­jang (MPKJ) dan pegawai Ja­ba­tan Pengairan dan Saliran (JPS) Hulu Langat membuat tinjauan menggunakan dron bagi meme­riksa keadaan tapak dan mengesahkan keberadaan kerja tanah tanpa kelulusan.

“Tinjauan dilakukan sejak se­malam dan dron digunakan untuk melihat situasi yang berlaku di atas bukit. Namun, kami tidak dapat naik ke atas kerana keadaan tanah terlalu lembik, licin dan berbahaya.

“Hasil daripada siasatan MP­KJ selaku pemberi lesen mengkategorikan aktiviti ini sebagai haram kerana berlakunya pe­nebangan pokok, penarahan bukit atau kerja tanah tanpa kebenaran serta di luar pengetahuan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Hampir sebulan yang lalu juga orang kampung telah panjat ke atas (bukit) dan mereka pastikan memang berlakunya aktiviti penebangan pokok dan penarahan bukit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, kejadian itu berla­ku berulang kali dalam tempoh beberapa minggu ini dan menyebabkan orang kampung semakin tertekan kerana perlu membersihkan kawasan sendiri.

“Kami penat sebab kerja orang lain, kami kena bersihkan, setiap kali hujan, pasir dan ta­nah dari bukit masuk longkang dan rumah orang kampung.

“Kita mahu mereka bertanggungjawab, sama ada mereka buat kolam di kaki bukit untuk menapis pasir atau lakukan apa-apa langkah yang boleh hentikan pasir daripada terus masuk longkang,” tegasnya.

Mohammad Firdauz menambah, orang kampung kini bercadang memulakan petisyen menuntut ganti rugi kerana kerosakan yang dialami terlalu kerap dan menjejaskan kehidupan harian mereka.

“Setiap kali hujan, orang kampung yang menanggung akibat, kita mahu penyelesaian segera dan menyeluruh supaya kejadian berulang dapat dielakkan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×