KUALA LUMPUR: Pengarah, Along Kamaludin, 59, menyarankan kepada pelakon baharu khususnya golongan pempengaruh media sosial agar menyertai kursus dan bengkel khas bagi memperbaiki kebolehan lakonan mereka.
Jelasnya, usaha itu penting sebagai persediaan sebelum mereka menerima sebarang tawaran lakonan.
“Ramai pelakon baharu zaman sekarang diterima masuk ke dunia lakonan kerana rupa paras dan populariti mereka di media sosial.
“Namun, disebabkan tiada pengalaman, ramai dalam kalangan mereka ini yang berdepan masalah untuk memberikan kerja lakonan yang bagus.
“Nasihat saya, sertailah kelas lakonan sebelum menerima tawaran berlakon kerana langkah itu bukan sahaja memudahkan kerja mereka, malah kerja orang lain di set penggambaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Along juga mencadangkan kepada pelakon bermasalah agar mengubah sikap negatif jika mereka ingin bertahan dalam bidang tersebut.
“Pelakon lama, ketika awal pembabitan mereka, ramai juga yang ‘kayu’. Tetapi, sikap dan kesungguhan mereka, bagus. Berdisiplin, jaga masa kerja dan rajin.
“Berbeza dengan pelakon generasi z sekarang ini. Bukan semua, tetapi ramai yang tidak menampakkan kesungguhan seperti yang ditunjukkan pelakon lama.
“Sebagai pengarah, saya nampak perbezaan yang ketara antara sebilangan besar pelakon lama dengan ramai baharu dari sudut disiplin dan kualiti kerja,” kongsinya lagi.
Dalam masa yang sama, Along atau nama sebenarnya Shahrom Kamaludin tidak menafikan pengarah memikul tanggungjawab yang cukup besar dalam menentukan kejayaan sebuah filem atau drama.
“Pengarah perlu main perana lebih -lebih lagi apabila pelakon gagal memberikan lakonan yang sesuai untuk sesebuah karakter itu.
“Kadang kala pelakon terlupa menjadi karakter dilakonkan, sebaliknya menjadi diri sendiri ketika membawa satu-satu watak.
“Sebab itulah pengarah kena betul -betul faham tugas kerana mereka adalah tunggak dalam pembikinan filem atau drama,” jelasnya. – UTUSAN










