KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menubuhkan Tribunal Antibuli sebagai langkah menangani kejadian buli terutama di institusi pendidikan melalui Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penubuhan tribunal tersebut antara yang terkandung dalam RUU Antibuli 2025 yang mempunyai 9 Bahagian dan 54 fasal.
Menurut beliau, Tribunal Antibuli akan berperanan sebagai badan yang mempunyai bidang kuasa sivil untuk mendengar dan memutuskan aduan berkaitan kes buli.
“Dalam konteks ini, quasi-judicial bermaksud tribunal tersebut menjalankan fungsi seperti sebuah badan kehakiman, ia mendengar keterangan, menilai bukti dan membuat keputusan yang mengikat tetapi prosesnya lebih ringkas dan lebih mesra pengguna berbanding mahkamah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU Antibuli 2025 bagi bacaan kali kedua sebelum ia dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang.
Azalina berkata, tribunal tersebut akan dianggotai oleh mereka yang layak dan diberikan bidang kuasa luas termasuk menjalankan prosiding secara mesra kanak-kanak, mengadakan pengantaraan dan mengeluarkan award seperti pampasan, permohonan maaf atau kewajipan menghadiri program pemulihan.
“Keputusan Tribunal ini adalah mengikat. Tribunal ini akan bertindak sebagai laluan kedua yang memberikan jaminan kepada pengadu,” katanya.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, RUU Antibuli 2025 turut memberikan perlindungan tambahan kepada kanak-kanak melalui sekatan terhadap penyiaran maklumat yang boleh mendedahkan identiti mereka.
Jelasnya, ia juga memperuntukkan perlindungan kepada mana-mana orang yang bertanggungjawab bagi agi pentadbiran, pengurusan dan pengawalseliaan institusi pendidikan, institusi atau jawatankuasa, sekiranya perbuatan mereka dilakukan atau penyataan dibuat dengan suci hati.
“RUU Antibuli 2025 juga menjelaskan bahawa tiada apa-apa dalam akta ini yang menghalang mana-mana individu daripada membuat laporan polis bagi apa-apa kesalahan berkaitan perbuatan buli.
“Kuasa Menteri untuk membuat peraturan turut diperuntukkan di bawah Bahagian ini, meliputi Fasal 50 hingga 54,” katanya.
Beliau mengakui bahawa RUU tersebut mungkin masih belum sempurna tetapi ia merupakan titik permulaan yang paling penting.
“Sekiranya bukan sekarang, bila lagi? Jangan jadikan anak-anak kita satu angka baharu dalam statistik mangsa jenayah buli. Ini adalah RUU rakyat, RUU untuk anak-anak kita. Suara mereka selama ini wujud, tetapi terlalu kerap hanya ‘didengar tetapi tidak diendah’.
“Tanggungjawab moral kita sebagai orang dewasa, sebagai Ahli Parlimen, adalah untuk memastikan setiap anak-anak dilindungi, dihormati dan diselamatkan daripada budaya buli,” katanya. – UTUSAN










